Kajian kebolehsanaan sedang dilaksanakan untuk melihat kemungkinan mewujudkan penerbangan terus dari beberapa lokasi di China ke Sarawak.
Menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, kini perancangan sedang dibuat untuk mewujudkan penerbangan terus ke Sarawak iaitu ke Kuching, Bintulu dan Sibu.
Katanya, setakat ini satu penerbangan akan memulakan penerbangan terus ke Sarawak iaitu penerbangan dari Yunnan ke Kuching.
“Satu lagi penerbangan yang sedang di peringkat kajian akhir adalah oleh Syarikat Penerbangan Xiamen dari Fuzhou, ibu kota wilayah Fujian ke Sibu.
“Penerbangan itu berpotensi kerana bandar Sibu mempunyai ramai penduduk berketurunan Foochow. Saya minta tidak perlu kapal terbang yang besar, mungkin penggunaan kapal terbang seperti Airbus 320 atau seumpamanya sudah memadai,” katanya.
Beliau ditemui media selepas merasmikan Program MOTAC bersama komuniti yang diadakan di Rumah Catherine Tamoh Sungai Aup, Sibu.
Lebih 1,000 orang hadir ke program Gawai yang diadakan di rumah panjang tersebut.
Program sarat dengan adat budaya masyarakat Iban itu menyaksikan tetamu disambut dengan paluan Gendang Pampat dan tarian Ngajat.-Berita RTM