Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Rustam dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Kepimpinan Sukan sempena Majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2023 yang akan berlangsung Khamis ini.
Individu yang pernah mewarnai landskap politik dan pentadbiran negara ini adalah seorang yang cukup penting dalam arena sukan tanah air selain kecintaannya terhadap seni mempertahankan diri nyata tidak perlu dipertikaikan lagi.
Menurut satu kenyataan media dikeluarkan SAM, Mohd Ali pernah memimpin Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) selama 13 tahun dan biarpun sudah menamatkan khidmat dalam persatuan berkenaan pada 2023, kecintaannya kepada sukan dapat dibuktikan apabila kini menjadi penaung kepada badan sukan induk itu.
Dalam tempoh kepimpinan Mohd Ali, pelbagai kejayaan diraih skuad karate negara yang sinonim dengan julukan ‘lubuk emas’ di beberapa temasya sukan seperti Sukan SEA dan Sukan Asia.
Dalam tempoh itu juga pencapaian terbaik Malaysia adalah dengan meraih satu perak dan satu gangsa di Kejohanan Dunia WKF 2014 di Jerman.
Peranan Mohd Ali bukan sahaja cemerlang di peringkat tempatan malah turut mendapat pengiktirafan peringkat dunia apabila beliau diangkat sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan Karate Dunia (WKF).
Selain MAKAF, Persatuan Silat Malaysia (PESAKA) juga tidak ketinggalan mendapat sentuhan ajaib daripada Mohd Ali yang mengemudi persatuan itu selama 20 yang berakhir pada 2020 dan sepanjang kepimpinan individu berusia 75 tahun itu, PESAKA mencipta deretan gelaran juara dunia.
Menurut Naib Presiden SAM, Mohd Hazreen Mubarak, pemilihan Mohd Ali sebagai penerima Anugerah Tokoh Kepimpinan Sukan pada Majlis Anugerah SAM-100PLUS 2023 adalah sebagai pengiktirafan kepada sumbangan beliau dalam sukan seni mempertahankan diri.
“Pembabitan Tun Dr Mohd Ali Rustam dalam arena sukan tidak dapat disangkal. Ia dapat dibuktikan dengan kejayaan kepimpinannya berjaya memacu MAKAF dan PESAKA lebih dikenali di peringkat antarabangsa,” kata Hazreen.-BH Online