Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Singapura, Lawrence Wong hari ini.
Pertemuan tersebut yang diadakan di Pejabat Perdana Menteri Singapura, Istana di sini dibuat sempena lawatan kerja rasmi Mohamed Khaled ke republik itu selama empat hari bermula 30 Mei lalu.
Dalam pertemuan yang berlangsung kira-kira 30 minit, Mohamed Khaled turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Lawrence di atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri Singapura yang baharu.
Sebelum itu, Mohomed Khaled yang mengetuai delegasi Malaysia pada Sidang Kemuncak Keselamatan Asian ke-21 Dialog Shangri-La 2024 (SLD24) mengadakan pertemuan bersama Menteri Kanan Singapura, Teo Chee Hean.
Mohamed Khaled menegaskan, Malaysia meletakkan komitmen yang tinggi dalam menjayakan Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA).
“Kami juga turut berbincang mengenai pelbagai isu dan perkembangan geopolitik serantau dan global,” katanya hari ini.
Terdahulu, Mohamed Khaled menyertai mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan (FDMM) FPDA ke-12 bagi membincangkan hala tuju kerjasama tersebut sekali gus mengukuhkan hubungan antara lima negara.
FPDA yang ditandatangani Malaysia, Singapura, Australia, New Zealand dan United Kingdom pada 1971, bertujuan memastikan Singapura serta Malaysia mempunyai saluran bantuan sekiranya berlaku serangan bersenjata di kedua-dua negara.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Tinggi itu turut mengadakan pertemuan bersama Menteri Pertahanan Republik Maldives, Mohamed Ghassan Maumoon.
Ia merupakan pertemuan pertama membabitkan menteri pertahanan kedua-dua negara.
Kata Mohamed Khaled, antara perkara yang dibincangkan adalah peluang anggota pertahanan Maldives mengikuti pendidikan dan latihan bersama institusi ketenteraan Malaysia.
“Kita juga berbincang mengenai kepentingan meningkatkan kapasiti dan kemahiran pertahanan khususnya bagi domain laut memandangkan kedua-dua negara mempunyai sempadan perairan yang besar dan terdedah,” jelasnya.
Tambah Mohamed Khaled, Malaysia sentiasa terbuka untuk menjalinkan kerjasama strategik dengan Maldives bagi meningkatkan kesiagaan pertahanan negara masing-masing. – KOSMO! ONLINE