Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Hasil kaji selidik mengenai tahap kesedaran pihak industri mengambil lulusan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai tenaga kerja dilakukan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) disifatkan tidak mempamerkan situasi semasa. 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata ini kerana kajian berkenaan mungkin dilakukan sebelum sebarang dasar atau inisiatif berkaitan TVET dilancarkan.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara antara lain meminta MEF dan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) membuat kajian baharu dan terkini bagi mendapatkan hasil selari keadaan semasa.

“Mungkin kajian dilakukan MEF ini adalah kajian awal, sebelum program ini (latihan TVET di China) dan dasar mengenai TVET dilancarkan. 

“Saya harap ada kajian baharu dilakukan MEF dan FMM kerana keperluan mereka adalah produktiviti. Justeru, untuk memperolehnya, mereka memerlukan pekerja mahir. 

“Bagi pekerja tidak mahir, mereka diberikan gaji minimum dan tentunya latihan dalaman perlu dibuat (untuk menjadikan mereka tenaga mahir) dengan (tahap) produktiviti belum dapat dijamin.

“Namun, melalui kursus TVET dijalankan ini kita telah menyediakan pekerja mahir dan tentunya akan memberi nilai tambah kepada produktiviti serta tenaga kerja yang ditawarkan dalam bidang yang pelbagai dalam TVET ini,” katanya pada sidang media di sini, malam tadi.

Beliau mengulas hasil kaji selidik MEF yang mendedahkan sebahagian besar syarikat swasta ‘kurang kesedaran’ untuk menggajikan lulusan TVET di organisasi mereka.

BH hari ini, melaporkan Tinjauan Gaji MEF untuk Eksekutif 2023 membabitkan 262 syarikat swasta yang dijalankan baru-baru ini, mendapati hanya 39.6 peratus mengambil lulusan TVET, sekali gus menunjukkan majoriti majikan swasta tidak terbabit dalam pengambilan pekerja dalam kalangan graduan berkenaan. 

Presiden MEF, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman, dilaporkan berkata dapatan itu jelas menunjukkan jurang ketara dalam aspek kesedaran dan penerimaan graduan TVET yang masih rendah dalam kalangan majikan sektor swasta. 

Malah, katanya, sebanyak 7.8 peratus daripada responden turut menyatakan ketidakpastian mengenai pengambilan tenaga kerja dalam kalangan graduan TVET. 

Mengakui pendidikan TVET diterima baik kerana penekanan dalam membangunkan kemahiran teknikal, tinjauan itu turut mendedahkan keperluan kritikan untuk meningkatkan lagi kemahiran insaniah membabitkan pelatih TVET. 

Berdasarkan kaji selidik itu, tiga kemahiran insaniah teratas yang kurang dalam kalangan graduan TVET ialah pemikiran kritis (43 peratus), kepimpinan kritis (41.5 peratus) dan kemahiran sosial serta komunikasi (39.4 peratus).-BH Online