Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Menara Kuala Lumpur (KL) kini diuruskan oleh satu syarikat usahasama, LSH Best Builders Sdn. Bhd. dan Service Master (M) Sdn. Bhd. bagi konsesi selama 20 tahun.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, perkara itu diumumkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, syarikat usahasama itu dipilih daripada lima pembida syarikat tempatan yang mengemukakan Permintaan Cadangan (RFP).

“Syarikat usahasama itu dipilih oleh Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) dan pihak kerajaan dan telah memenuhi syarat ditetapkan dan tidak ada apa-apa isu terkait selepas semua saringan dilakukan dari segi aspek integriti serta tidak timbul sebarang isu,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Katanya, proses seterusnya adalah pengeluaran surat pengoperasian kepada syarikat usahasama tersebut.

Fahmi berkata, beliau dimaklumkan, semua syarikat yang ingin terlibat dalam proses tender ini perlu mempunyai keupayaan kewangan sekurang-kurangnya RM18 juta. – KOSMO! ONLINE