Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Dasar Gaji Progresif yang mahu dilaksanakan oleh kerajaan bukan sekadar menambah pendapatan rakyat semata-mata, tetapi meningkatkan pergerakan kemahiran dalam pasaran kerja supaya mereka yang dibayar rendah atau tidak bekerja boleh meneroka peluang kemahiran baharu dan naik ke atas.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata kertas putih Dasar Gaji Progresif yang dibentangkan di Parlimen tahun lalu adalah salah satu reformasi pasaran buruh yang meningkatkan gaji rakyat secara sistematik.

Katanya, realitinya, rakyat Malaysia, terutamanya graduan yang baru ingin mula bekerja menghadapi isu penetapan gaji permulaan yang rendah dan hampir dengan kadar gaji minimum.

“Dasar gaji minimum telah menaikkan gaji pekerja berkemahiran rendah tetapi menyebabkan herotan gaji (wage compression). Akibatnya, jurang gaji antara pekerja berkemahiran rendah dan graduan peringkat permulaan semakin mengecil. 

“Gaji pekerja tidak berkemahiran telah naik, manakala gaji pekerja berkemahiran atau para-kemahiran tidak meningkat atau menjadi lebih rendah. Itulah mengapa kita sering kita dengar keluhan anak muda mengenai gaji mereka yang rendah,” katanya dalam satu hantaran di laman rasmi X beliau hari ini.

Rafizi berkata, Dasar Gaji Progresif adalah secara sukarela, memberikan majikan ruang untuk bersedia dan menyesuaikan diri dengan peningkatan kos buruh. 

“Syarikat yang berdaftar dan layak akan menerima insentif kerajaan untuk membantu menyesuaikan diri dengan kos tambahan. Sebelumnya, inisiatif menaikkan gaji tidak disokong dengan insentif dan ditinggalkan kepada majikan.

“Dasar Gaji Progresif akan memastikan keseimbangan antara kenaikan gaji pekerja dan produktiviti untuk kesaksamaan. Dasar Gaji Progresif akan mendorong majikan menyediakan latihan dan melabur dalam teknologi untuk meningkatkan kemahiran dan produktiviti pekerja,” katanya.

Beliau menambah bahawa negara memerlukan anjakan besar untuk meningkatkan gaji pekerja selaras dengan matlamat Ekonomi MADANI. 

“Ini bertujuan mengangkat martabat negara dan memastikan pendapatan dinikmati rakyat. Dasar Gaji Progresif, satu inisiatif serampang pelbagai mata, akan melengkapi dasar-dasar sedia ada seperti Dasar Gaji Minimum.

“Kepada majikan dan syarikat yang berminat untuk sertai, maklumat lanjut mengenai Dasar Gaji Progresif boleh dilayari di laman web https://gajiprogresif.gov.my/,” katanya.

Dasar Gaji Progresif yang menyasarkan peningkatan gaji dan pengagihan pendapatan lebih seimbang akan mula dilaksanakan sebagai projek rintis bulan depan, dengan pembabitan 1,000 syarikat meliputi lima sektor dikenal pasti.

Lima sektor itu membabitkan pembuatan, pembinaan, perdagangan borong dan runcit, pembaikan kenderaan bermotor dan motosikal, maklumat dan komunikasi, serta aktiviti profesional, saintifik dan teknikal.

Pemilihan syarikat untuk projek rintis itu dibuka kepada lima sektor berkenaan dengan pemilihan melalui proses yang menekankan sokongan dasar, tahap keperluan sektor serta kesaksamaan.

Pihak majikan yang terbabit dengan Dasar Gaji Progresif boleh menuntut insentif tunai daripada kerajaan sekiranya memenuhi syarat kelayakan dengan pekerja bergaji antara RM1,500 dan RM4,999.

Syarikat yang terpilih akan menerima insentif berjumlah maksimum RM200 sebulan bagi setiap pekerja peringkat permulaan dan maksimum RM300 sebulan bagi setiap pekerja bukan peringkat permulaan.

Setiap pekerja yang berdaftar di bawah Dasar Gaji Progresif perlu menjalani kursus dan latihan peningkatan kemahiran sekurang-kurangnya selama tiga hari (21 jam).-BH Online