Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan melancarkan pelan induk untuk hab ‘blockchain’ patuh Syariah (SBH) pertama di dunia untuk Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC). 

Amir Hamzah berkata, permintaan global untuk produk pelaburan patuh Syariah dianggarkan berjumlah AS$3.8 trilion (RM17.84 trilion).

Oleh itu, katanya potensi teknologi ‘blockchain’ akan menyumbang dengan ketara kepada ekonomi Islam, terutamanya bagi menangani pasaran yang belum diterokai oleh 1.9 bilion masyarakat Islam.null

“Pelan induk ini memanfaatkan teknologi ‘blockchain’ untuk meningkatkan ekonomi digital Islam, memastikan ia memenuhi keperluan dan nilai masyarakat Islam global sambil meletakkan Malaysia sebagai peneraju global dalam kewangan digital Islam,” katanya semasa pelancaran pelan induk itu sempena Forum Global Ekonomi dan Kewangan Islam 2024 di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA), Nik Mohamed Din Nik Musa, berkata Labuan IBFC bersedia untuk menjadi pemain hadapan dalam kewangan digital Islam, menyediakan teknologi aplikasi terdesentralisasi termaju dan kontrak pintar. 

Beliau berkata, Labuan SBH bersedia untuk merevolusikan landskap kewangan Islam global. 

“Inisiatif ini akan memangkin kemajuan, memupuk pembabitan, sambungan dan kerjasama dalam kalangan teknologi kewangan antarabangsa (fintech) dan penyedia teknologi digital untuk membangun dan menawarkan produk dan perkhidmatan yang inovatif, terutamanya kepada segmen pasaran yang tidak mendapat perkhidmatan dan kurang mendapat perkhidmatan di seluruh dunia.

“Insentif cukai ini akan meremajakan sektor kewangan Islam Labuan dan melengkapkan inisiatif Labuan FSA untuk meningkatkan kewangan Islam, sejajar dengan kepimpinan global Malaysia dalam kewangan Islam seperti yang digariskan dalam Rangka Kerja Ekonomi MADANI Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut kenyataan itu, kerajaan telah memberikan pengecualian cukai selama lima tahun, sifar peratus bermula dari tahun taksiran 2024 untuk pemain digital Islam Labuan bagi mengukuhkan lagi status Labuan IBFC sebagai hab kewangan Islam.

Pengawal selia berkata pelan induk SBH dibangunkan oleh Labuan FSA dengan visi untuk mengubah Labuan IBFC menjadi hab kewangan digital terulung dan landasan pelancaran untuk teknologi ‘blockchain’. 

Selaras dengan Pelan Hala Tuju Rantaian Sekat Kebangsaan Malaysia 2021-2025, ciri-ciri utama inisiatif termasuk, antara lain, mewujudkan sistem kewangan yang menggalakkan keadilan sosial, kestabilan ekonomi dan tingkah laku beretika mengikut Syariah dan menggunakan kontrak pintar pada blockchain untuk mengautomasikan dan menguatkuasakan proses kontrak untuk institusi Islam dalam parameter Syariah, katanya.

Pelan induk itu adalah komponen penting dalam inisiatif Pusat Aset Digital Islam yang dilancarkan pada 2022 untuk menarik aset digital dan pemain fintech ke Labuan dan mewujudkan pengkhususan dalam kewangan Islam digital.

-BERNAMA