Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, memfailkan afidavit bagi menyokong permohonan Datuk Seri Najib Razak, mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16, supaya menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah.

Afidavit itu diikrarkan Menteri Besar Pahang menerusi firma guaman, Tetuan Shafee & Co, di Mahkamah Tinggi, pada 21 Mei lalu.

Wan Rosdy mengesahkan diberitahu mengenai kewujudan titah berkenaan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

“Saya menghadiri mesyuarat bersama (Timbalan Perdana Menteri dan Presiden UMNO) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; (Menteri Perladangan dan Komoditi dan Naib Presiden UMNO) Datuk Seri Johari Abdul Ghani; (Timbalan Menteri Kerja Raya dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO) Datuk Seri Ahmad Maslan dan (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) dan Ketua Penerangan UMNO) Datuk Seri Azalina Othman Said.

null

“Mesyuarat itu di kediaman Ahmad Zahid di Country Heights Kajang, pada awal malam 30 Januari 2024. Saya melaporkan apa yang dimaklumkan Tengku Zafrul pada petang hari sama mengenai kewujudan titah terbabit.

“Ahmad Zahid mengambil maklum perkara itu dan memberitahu saya bahawa beliau (Ahmad Zahid) diberitahu hal berkenaan oleh Tengku Zafrul pada hari sama. Beliau juga menyatakan sudah membaca perintah berkenaan.

“Saya tiada salinan Titah Adendum bertarikh 29 Januari 2024 kerana atas alasan kerahsiaan dan kewajaran terutama memandangkan bahawa titah berkenaan pada masa itu belum dilaksanakan atau dikuatkuasa lagi seperti sepatutnya berlaku,” katanya. 

Najib, 71, yang juga bekas Presiden UMNO memfailkan permohonan kebenaran itu di Mahkamah Tinggi di sini pada 1 April lalu menerusi Tetuan Shafee & Co.

Beliau menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di JPM dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu memohon perintah supaya semua responden atau seorang daripada mereka diarah menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum bertarikh 29 Januari 2024.

Najib juga memohon perintah jika titah itu wujud, maka semua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dan dengan serta-merta memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Wan Rosdy berkata, Tengku Zafrul menerangkan dua perkara kepadanya pada petang 30 Januari lalu.

“Tengku Zafrul memberitahu bahawa Yang di-Pertuan Agong ke-16, keluarkan keputusan permohonan pengampunan (keputusan pertama) iaitu mengurangkan perintah penjara sebanyak 50 peratus dan hukuman denda pula ke RM50 juta saja.

“Kedua dengan keputusan pertama, Yang di-Pertuan Agong ke-16, mengeluarkan satu lagi perintah (Perintah Adendum) yang memerintahkan supaya pemohon (Najib) menjalani dengan serta-merta hukuman penjaranya di rumah dan bukan di mana-mana penjara,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Peguam Negara menerusi surat kepada Mahkamah Tinggi bertarikh 23 Mei lalu, membantah afidavit diikrarkan Menteri Besar Pahang terbabit. 

“Pemohon mempunyai tanggungjawab sebagaimana Aturan 53 Kaedah 3(2) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 untuk memastikan afidavit yang mengesahkan fakta menyokong permohonan semakan kehakiman mendedahkan kesemua fakta material dan butiran penting difailkan dari awal permohonan dibuat.

“Permohonan itu dibuat terlampau lewat setelah pihak pemohon dan Peguam Negara memfailkan hujahan bertulis dan berhujah secara lisan di mahkamah pada 17 April 2024.

“Ia juga mengambil kira bahawa mahkamah menetapkan tarikh keputusan bagi permohonan kebenaran semakan kehakiman pada 5 Jun ini.

Secara keseluruhan, permohonan itu terjumlah kepada satu tindakan untuk memintas bantahan dibangkitkan oleh Peguam Negara,” katanya.

Surat itu ditandatangani Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan. -BH Online