Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menetapkan harga maksimum borong dan runcit bagi lapan jenis harga barangan terkawal sempena perayaan Pesta Kaamatan serta Hari Gawai tahun ini.

Penetapan harga barangan terkawal berkenaan diumumkan oleh menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, hari ini.

Katanya, tempoh penetapan harga berkuat kuasa tujuh hari bermula 27 Mei hingga 2 Jun bagi Pesta Kaamatan dan 29 Mei hingga 4 Jun bagi Hari Gawai.

Armizan berkata, antara barangan terbabit ialah kepak ayam, daging kerbau import India (kecuali bahagian batang pinang), cili kering kerinting, bawang merah kecil (India), bawang putih (China), babi hidup (ladang sahaja), daging babi (perut, daging dan lemak), ayam tua hidup dan kubis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk kubis Beijing).

“Senarai barangan ini telah kita masukkan dalam laman web KPDN yang mana ia boleh diakses rakyat kita, khususnya mereka yang meraikan kedua-dua perayaan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kampung Angkat Madani dan Sambutan Kaamatan di Sekolah Kebangsaan Kaiduan, di sini, hari ini.

Armizan berkata, antara kriteria pemilihan barangan itu adalah barang yang mendapat permintaan dan keperluan tinggi ketika musim Pesta Kaamatan dan Hari Gawai.

“Kedua, pastinya program ini juga tidak membabitkan sebarang implikasi kewangan kerajaan. Maka kita melaksanakan satu sesi libat urus dengan industri (yang berkaitan).

“Jadi barang-barang ini telah dipilih dan mendapat persetujuan daripada industri untuk sama-sama melaksanakan program (skim harga maksimum) ini,” katanya.

Sementara itu, Armizan berkata, pihaknya tidak menerima sebarang isu besar berbangkit mengenai kehabisan stok barangan ketika perayaan sebelum ini.

“Kalau kita lihat ketika perayaan lalu pun sama ada ketika bulan puasa mahupun Aidilfitri, tidak ada isu besar berbangkit berhubung kehabisan stok dan sebagainya.

“Kita bekerjasama rapat (antara) KPDN dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan,” katanya.-BH Online