Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Pendidikan menerusi bidang Kecerdasan Buatan (AI) terhadap murid akan dipergiatkan menerusi tumpuan terhadap kompetensi dan latihan guru di negara ini. 

Malah, bagi mengukuhkan lagi keupayaan murid dalam bidang berkenaan, sekolah di luar bandar juga tidak akan diabaikan, sebaliknya diserap menjadi sebahagian daripada komuniti digital.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata murid perlu terus dibimbing dalam bidang AI berikutan mereka mempunyai keupayaan cukup tinggi berdasarkan kepada ‘input’ dan inovasi yang dihasilkan.

“Disebabkan itu, dalam aspirasi kita, guru mesti kompeten dan kita berikan tumpuan kepada kompetensi serta latihan kepada golongan pendidik untuk memandu anak murid dalam AI.

“Selain memperkasakan AI di sekolah, kita juga sudah mengupayakan Pusat Kegiatan Guru dan Pelantar Pendidikan Digital DELIMa yang seharusnya digunakan sepenuhnya oleh murid serta guru.

“Jadi, Pelantar DELIMa ini sewajarnya menjadi medium utama untuk meningkatkan keupayaan digital dan inovasi mereka,” katanya yang ditemui selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Perempuan Alawiyah, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung cadangan dan langkah Kementerian Pendidikan (KPM) untuk sekolah susulan daripada perkembangan AI yang semakin pesat pada masa kini.

KPM baru-baru ini mengumumkan pembelajaran kecerdasan buatan (AI) bakal dilaksanakan seawal peringkat sekolah rendah menjelang jendela persekolahan 2027. 

Pengumuman dan rancangan pelaksanaan ini dilihat sebagai antara usaha menyambut hasrat kerajaan untuk memperkasakan kesedaran rakyat terhadap teknologi AI menerusi program ‘AI untuk Rakyat’. 

Namun begitu, langkah progresif ini mengundang pelbagai reaksi dan persepsi yang agak skeptikal dalam kalangan pendidik, ibu bapa dan masyarakat mengenai sejauh mana dan bagaimana pelaksanaan kurikulum pembelajaran AI akan diterapkan kepada murid.-BH Online