Kementerian Luar sedang bekerjasama rapat dengan pihak di Qatar dalam usaha membawa pulang enam anggota perubatan Malaysia dari Persatuan Bantuan Perubatan (MERCY) yang terkandas di Rafah, Gaza sejak 1 Mei lalu.
Wisma Putra berkata, kerjasama itu termasuk mengadakan perbincangan terkini yang diketuai Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan mengenai usaha kemanusiaan bersama di Gaza.
Katanya, perbincangan itu diadakan bersama Menteri Negara bagi Kerjasama Antarabangsa Qatar, Lolwah Rashid Al-Khater.
“Selain itu, Kementerian Luar juga bekerjasama dengan Mesir dan Jordan bagi memastikan enam anggota perubatan itu dapat dipindahkan dengan selamat dari zon konflik.
“Memandangkan situasi tegang dan cepat berubah, paling penting dalam operasi menyelamat, ia dijalankan dengan cekap dan lancar melalui saluran diplomatik.
“Disebabkan keadaan semakin meruncing di Rafah, Gaza dan kawasan sekitarnya, kerajaan menggesa semua rakyat negara ini terutama mereka yang berdaftar dengan badan bukan kerajaan (NGO) agar tidak melakukan perjalanan ke zon konflik,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, Kementerian Luar sedia maklum dan memberi perhatian mengenai keselamatan kesemua anggota pasukan perubatan itu yang mana mereka sebahagian daripada delegasi perubatan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ke Rafah, Gaza.
“Keselamatan pasukan itu keutamaan Kerajaan Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, nasihat tidak melakukan perjalanan ke zon konflik juga adalah penekanan terhadap arahan yang dikeluarkan semasa mesyuarat antara agensi dengan NGO pada 16 Oktober 2023 dan 23 Januari lalu di Kementerian Luar.
“Kementerian Luar menegaskan komitmennya yang tidak berbelah bahagi untuk memastikan kepulangan selamat warga Malaysia.
“Semua langkah yang perlu sedang diambil dan Kementerian Luar akan terus bekerjasama dengan rakan antarabangsa untuk membawa pulang pasukan perubatan itu dengan selamat,” katanya.-BH Online