Pelancaran (GPPF) baharu yang diperkenalkan hari ini bertujuan membantu penggiat seni dan pembuat filem tempatan untuk menghasilkan karya lebih berkualiti tanpa membataskan kemahiran serta kreativiti mereka.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, GPPF telah melalui penambahbaikan daripada garis panduan terdahulu dengan menggariskan tiga teras utama.
Katanya, teras itu meliputi aspek keselamatan dan ketenteraman awam, keagamaan selain moral serta sosiobudaya.
Menurut beliau, garis panduan baharu itu bagi menggantikan garis panduan lama pada 2010 untuk memastikan perkara disepakati dalam Perlembagaan meliputi soal agama Islam sebagai agama Persekutuan, peranan institusi raja dan bahasa tidak dipertikai dalam kandungan filem.
“Tujuan garis panduan baharu ini dibuat supaya ia lebih jelas daripada aspek keseragaman dan tidak boleh ada dwi standard.
“Hasrat sebenar LPF adalah kita hendak meminimakan arahan pengubahan (editing) agar tidak menjejaskan nilai estetika sesebuah karya, itu niat asalnya,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran GPPF di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, garis panduan yang baharu ini bukanlah dihasilkan mengikut acuan dan kehendak Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Lembaga Penapis Filem (LPF) semata-mata, sebaliknya GPPF dihasilkan dengan mengambil kira pandangan pemegang taruh. – KOSMO! ONLINE.