Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memperuntukkan RM26.3 juta untuk menaik taraf kemudahan 15 institut pertanian bertauliah KPKM di seluruh negara.

Timbalan Menterinya, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, usaha itu berperanan dalam memastikan pelatih berpeluang menikmati kemudahan komprehensif yang disediakan di institut terbabit

“Peruntukan ini digunakan untuk menyelenggara infrastruktur sekali gus menyediakan prasarana lebih baik merangkumi 14 program pembangunan yang ditawarkan khusus buat pelatih.

“Usaha ini akan dapat memastikan graduan memiliki ilmu terkini yang boleh digunakan dalam memajukan sektor pertanian negara di samping memenuhi keperluan semasa tenaga kerja mahir di dalam negara,” katanya selepas menghadiri Sesi Townhall di Institut Pertanian Bumbong Lima, Kepala Batas di sini, hari ini.

Menerusi program terbabit, beliau meluangkan masa hampir dua jam berinteraksi bersama pelatih Institut Pertanian Zon Utara dalam membincangkan hala tuju dan keadaan semasa sektor pertanian negara.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata kementerian akan memfokuskan penambahbaikan prasarana dan kapasiti bilangan pelajar institut yang sedia ada.

“Setakat ini, institut yang beroperasi mampu menampung lebih 3,600 pelatih dan kita akan pastikan kapasitinya dapat ditingkatkan sebelum merancang untuk menambah institut baharu,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE