Meta Platforms Inc (Meta) kembali memuat naik laporan berita pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pemimpin Hamas di platform media sosial mereka yang diturunkan, sejak kelmarin.
Syarikat itu dilaporkan berkata, berlaku kesilapan dalam tindakan itu selepas kerajaan Malaysia mahu mengenakan tindakan tegas terhadap Meta dan syarikat media sosial lain jika mereka terus menyekat kandungan pro-Palestin di platform mereka.
Anwar kelmarin bertemu pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh di Qatar dan turut menegaskan, walaupun beliau mempunyai hubungan baik dengan pemimpin politik kumpulan itu, beliau tidak terbabit dalam tindakan ketenteraannya.
Malaysia semalam menghantar notis meminta Meta menjelaskan mengenai sekatan siaran kepada dua organisasi media terhadap pertemuan itu, serta penutupan akaun Facebook milik Malaysia Gazette, yang menyiarkan isu Palestin, bulan lalu.
“Dua hantaran yang dikeluarkan itu adalah satu kesilapan dan kini sudah dipulihkan,” kata jurucakap Meta dalam e-mel kepada Reuters.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil semalam memohon penjelasan Meta yang menurunkan laporan berita pertemuan Anwar dengan pemimpin Hamas di platform media sosial mereka.
Menyifatkan tindakan syarikat terbabit jelas melanggar hak kebebasan media di negara ini, katanya, beliau akan menghantar surat kepada Meta bagi menuntut penjelasan berhubung perkara itu.
Portal The Malaysia Gazette pula berkata, rayuannya kepada Facebook untuk mengaktifkan semula akaun mereka di platform itu diterima dan kini sudah beroperasi semula.
Malaysia sudah lama menganjurkan penyelesaian dua negara dalam konflik antara Israel dan Palestin.
Dalam perkembangan itu, Meta berkata, mereka tidak sengaja melakukan sekatan kebebasan media di platform Facebooknya malah menyatakan, ‘tidak benar’ terhadap dakwaan mereka menyekat kandungan yang menyokong rakyat Palestin.
Meta sebelum ini mendakwa Hamas, pentadbir Gaza sebagai ‘organisasi berbahaya’ dan didakwa melarang kandungan yang memuji kumpulan itu.
Ia menggunakan gabungan pengesanan automatik dan semakan manusia untuk mengalih keluar atau melabel visual grafik.-BH Online