Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Pertemuan Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh di Qatar semalam mencetus pelbagai andaian lebih-lebih lagi ketika nama Malaysia sendiri dikaitkan dengan penyaluran dana kepada Hamas.

Pertemuan tertutup antara Perdana Menteri dan Haniyeh berlangsung lebih sejam ketika Anwar dalam misi lawatan rasmi ke Qatar.

Ketika diajukan soalan mengenai pertemuan itu, Anwar mengakui timbul sedikit keresahan dalam kalangan beberapa sahabat terutama di Barat susulan perjumpaan mereka itu.

Malah, katanya sebelum pertemuan berlangsung beliau turut merujuk kepada Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani dan Perdana Menteri bersama rakan sejawatnya yang juga Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman bin Jassim Al Thani, kerana Qatar terkait rapat dengan Hamas serta dalam langkah mencari kaedah perdamaian.

“Soal saya menemui mereka (Hamas) saya nak jelaskan sekali lagi bahawa kita mengambil sikap yang bebas.

“Hamas punya hak untuk pertahankan wilayah yang dijajah oleh kuasa asing, tetapi kita ambil pendekatan menyokong usaha damai untuk berhubung dengan badan politik Hamas dan tidak terlibat dalam mana-mana aktiviti ketenteraan.

“Jadi ini yang kita jelaskan dan saya percaya rakan-rakan kita akan bangkitkan bahawa tiada sebab mengapa tak boleh adakan perbincangan itu sebab Malaysia sebagai sebuah negara yang bebas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media Malaysia sebelum menamatkan lawatan tiga hari beliau di Qatar, semalam sebelum berlepas ke Republik Kyrgyzstan untuk meneruskan misi menarik pelaburan baharu di negara Asia Tengah itu.

Difahamkan pertemuan Perdana Menteri dan Haniyeh semalam adalah yang pertama secara bersemuka selepas Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 pada November 2022. 

Tambah Anwar lagi, pertemuan beliau dengan pemimpin Hamas itu juga untuk menjaga hubungan baik yang terjalin sejak sekian lama.

“Ketua-ketua Hamas khususnya Ismail Haniyeh dan Khaled Meshaal berpangkalan di Doha dan kalau dulu, saya sering jumpa mereka di rumah, tetapi kini saya undang mereka (untuk berjumpa).

“Kesempatan itu juga saya cadangkan supaya Hamas ambil kira pandangan-pandangan supaya mencari penyelesaian yang aman serta segera, dan saya lihat pimpinan Hamas itu mengambil sikap sangat terbuka untuk jalan penyelesaian.

“Tetapi (untuk itu berlaku) hentikanlah keganasan pencerobohan oleh rejim zionis Israel ke atas Gaza dan juga kawasan di tebing Barat yang terus diserang oleh kelompok-kelompok Israel,” katanya.

Malaysia melalui kenyataan dikeluarkan Wisma Putra sebelum ini memaklumkan akan meneruskan usaha ke arah penubuhan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya, serta kemasukan Palestin sebagai Anggota Penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Dalam pada itu, Anwar mengakui ada kesediaan di pihak Hamas untuk memenuhi beberapa syarat dikenakan, namun malangnya keengganan Israel untuk menerima syarat-syarat ini menjadikan ia sulit.

Sebelum ini, Anwar melalui muat naik di Facebook memaklumkan pertemuan beliau dan Haniyeh antara lain bertujuan menzahirkan ucapan takziah atas pemergian ahli keluarga pemimpin Hamas itu yang terkorban dalam pengeboman kejam rejim Zionis, selain untuk mendapatkan gambaran situasi getir di Gaza dan Rafah yang semakin menggusarkan.

Sejak konflik meletus lapan bulan lalu, ratusan ribu rakyat Palestin terkorban dan cedera dengan separuh dari bumi Gaza dilanda kemusnahan kekal, kerana kekejaman rejim Zionis. 

Anwar juga menegaskan Malaysia akan terus komited memainkan peranannya di peringkat antarabangsa bagi menghentikan serangan ke atas Rafah, sementelahan menggerakkan ikhtiar lebih tangkas bagi membantu mangsa peperangan Gaza khususnya dalam aspek bantuan kemanusiaan, perubatan dan pendidikan.

Malaysia juga hargai kesediaan Hamas membebaskan tahanan khususnya kanak-kanak dan wanita serta menerima pelan damai dunia Arab, OIC, dan masyarakat antarabangsa.

Dalam masa sama, Malaysia mendesak Israel menghentikan pembantaian ke atas rakyat Palestin, membebaskan semua tahanan rakyat Palestin dan bersetuju dengan pelan perdamaian.-BH Online