Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Malaysia akan terus komited memainkan peranan di peringkat antarabangsa bagi menghentikan serangan ke atas Rafah, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, Malaysia juga akan terus menggerakkan ikhtiar yang lebih tangkas bagi membantu mangsa peperangan di Gaza khususnya dalam aspek bantuan kemanusiaan, perubatan dan pendidikan.

“Malaysia hargai kesediaan Hamas membebaskan tahanan khususnya kanak-kanak dan wanita serta menerima pelan damai dunia Arab, OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam), dan masyarakat antarabangsa,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Anwar berkata, Malaysia turut mendesak Israel menghentikan kezaliman ke atas rakyat Palestin, membebaskan semua tahanan rakyat Palestin dan bersetuju dengan pelan perdamaian.

Beliau berkata demikian selepas pertemuan bersama delegasi Hamas yang diketuai pimpinan utamanya, Ismail Haniyeh dan bekas Ketua Hamas, Khaled Masyal.

Anwar turut menzahirkan ucapan takziah atas pemergian ahli keluarga Ismail yang terkorban dalam pengeboman kejam rejim Zionis.

Pertemuan tertutup empat mata antara dua pemimpin itu berlangsung di sebuah hotel di sini, dengan antara inti pati pertemuan sudah tentu untuk mendapatkan gambaran sebenar mengenai konflik di Asia Barat, khususnya membabitkan Hamas dan Israel di Palestin.

Haniyeh dilihat tiba di lobi hotel terbabit jam 8.55 pagi (waktu tempatan) dengan dikawal ketat sekumpulan pengawal sebelum diiring naik ke lokasi pertemuan yang berlangsung lebih sejam itu.

Ini pertemuan bersemuka pertama Anwar bersama Haniyeh sebagai Perdana Menteri Malaysia. Kali terakhir mereka berjumpa pada 2019 dan 2020, namun ketika itu atas kapasiti sebagai Ketua Pembangkang.

Bagaimanapun, kedua-dua pemimpin itu sering berhubung melalui panggilan telefon, malah Ismail turut menghubungi dan mengucapkan tahniah ketika Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia pada 2022.

Anwar turut menghubungi Haniyeh pada 11 April lalu bagi menzahirkan rasa simpati dengan serangan berlaku di Palestin yang turut mengorbankan tiga anak lelaki pemimpin Hamas itu.

Dalam pertemuan itu, Perdana Menteri turut menerima taklimat terkini situasi getir di Gaza dan Rafah yang semakin menggusarkan.

Sejak konflik meletus lapan bulan lalu, ratusan ribu rakyat Palestin terkorban dan cedera dengan separuh dari bumi Gaza dilanda kemusnahan kekal, kerana kekejaman rejim Zionis.

Kementerian Kesihatan di Gaza yang dikendalikan Hamas menyatakan sekurang-kurangnya 35,000 terbunuh di wilayah itu sepanjang lebih enam bulan perang antara Israel dan Palestin.

Jumlah berkenaan termasuk sekurang-kurangnya 65 kematian dalam tempoh 24 jam yang lalu, menurut kementerian terbabit.

Sementara itu, Israel bertegas untuk meneruskan operasi ketenteraan secara besar-besaran di Rafah, wilayah paling selatan di Gaza, selepas penduduk Palestin di kawasan itu dikosongkan.

Mereka mendakwa serangan terbaru Israel di Gaza kononnya untuk menghapuskan lokasi persembunyian Hamas.

Dalam masa sama 75,993 dilaporkan cedera di Semenanjung Gaza sejak perang bermula apabila pejuang Hamas menyerang Israel pada 7 Oktober lalu.-BH Online