Kemenangan calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) menjadi bukti kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan Kerajaan Perpaduan.
Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata berdasarkan statistik, peratusan undi kepada PH menunjukkan peningkatan iaitu sebanyak 57 peratus berbanding 54 peratus pada Pilihan Raya Negeri pada Ogos tahun lalu.
“Beberapa pencapaian lain yang sangat membanggakan ialah kita berjaya merampas beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan undi awal serta undi pos yang sebelum ini dimenangi pihak lawan.
“PH juga berjaya merampas tiga peti undi yang kita tewas sebelum ini iaitu di Kerling, Sungai Air Jernih dan Pertak dengan dua daripadanya merupakan kawasan majoriti Melayu. Ini adalah satu signal dan kalau mereka anggap pungutan suara, inilah sokongan (endorsement)kepada Kerajaan Perpaduan di Selangor dan Putrajaya,” katanya pada sidang media di sini, malam ini.
Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor berkata Perikatan Nasional (PN) sebaliknya mencatatkan penyusutan majoriti kepada 1,300 undi, sekali gus menunjukkan mood atau suasana rakyat yang semakin mesra terhadap Kerajaan Perpaduan.
Beliau berkata, kemenangan di KKB juga menjadi penyuntik semangat untuk Kerajaan Perpaduan merampas kembali kawasan Parlimen Hulu Selangor yang kini dikuasai PN pada pilihan raya umum akan datang.
Amirudin turut berterima kasih kepada Barisan Nasional kerana membantu kemenangan calon.
Dalam pada itu, beliau berharap Sock Tao, 31, dapat meneruskan legasi penyandang terdahulu Lee Kee Hiong selain berusaha menyelesaikan permasalahan setempat demi kesejahteraan rakyat.
Pengerusi DAP Selangor, Gobind Singh Deo, berkata kemenangan itu adalah simbolik aspirasi rakyat yang inginkan sebuah kerajaan yang stabil dengan misi dan visi jelas, serta mampu memacu pembangunan negara.
“Jadi kita menunjukkan kejayaan ini adalah kejayaan untuk kita semua dan saya mengucapkan terima kasih kepada semua kerana telah pun berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk memenangkan calon kita dalam PRK ini,” kata Menteri Digital itu.
Sock Tao menang dengan majoriti 3,869 undi menewaskan tiga pencabarnya Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Dr Azmi Sharom dalam kenyataan malam ini, memaklumkan peratusan keluar mengundi PRK KKB adalah sebanyak 61.51 peratus, melepasi 60 peratus yang disasarkan sebelum ini.– BERNAMA