Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Sektor pelancongan di Melaka mendahului tiga negeri lain yang turut menganjurkan tahun melawat negeri sepanjang tahun ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Roslan Abdul Rahman, berkata kementerian itu mengakui banyak usaha yang dilaksanakan kerajaan negeri dalam menjayakan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) sejak tahun lalu memberi impak positif dalam menentukan kejayaan penganjurannya tahun ini.

Justeru, beliau berkata, tiga negeri lain iaitu Perak, Perlis dan Kelantan turut diberikan perhatian dalam usaha kerajaan negeri masing-masing menganjurkan tahun melawat negeri.

“Kalau nak menandingi (dalam sektor pelancongan) Melaka jauh ke hadapan, ditambah dengan peranan MOTAC negeri yang sangat agresif membantu kerajaan negeri menjayakan TMM2024.

“Bagaimanapun, MOTAC terus memberi bantuan (tiga negeri lain) dalam sektor pelancongan bagi memastikan hasrat mereka untuk menarik pelancongan ke negeri itu tercapai,” katanya selepas menghadiri Majlis Makan Malam Sambutan Kapal Layar Tradisional China Terbesar di Dunia, Fu Ning ke Melaka di Pelabuhan Tanjung Bruas, Tanjung Kling di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; EXCO Kanan Negeri, Datuk Rais Yasin serta EXCO Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abd Razak Abd Rahman.

Sementara itu, Roslan berkata, pelbagai program serta aktiviti akan dilaksanakan di Melaka yang dipilih sebagai tuan rumah sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China, tahun ini.

Beliau berkata, selain memperingati ulang tahun peristiwa yang sangat bermakna itu, sambutan dijangka diadakan pertengahan tahun ini juga akan merancakkan lagi TMM2024 yang sedang berlangsung ketika ini, sekali gus menjadi pencetus semangat kepada penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026 (VMY2026) kelak.

“Insya-Allah kita akan mengadakan sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China di Melaka dan saya yakin menerusi acara itu akan meningkatkan jumlah pelancong asing ke Malaysia dan Melaka, khususnya dari China.

“Pada masa sama, kemunculan kapal layar Fu Ning di Melaka juga akan menjadi satu daripada produk yang akan ditonjolkan pada sambutan itu nanti, sekali gus menjadi simbolik kepada hubungan diplomatik kedua-dua negara terbabit,” katanya.-BH Online