Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kerajaan Johor sedang mengkaji kadar baharu gaji penjawat awam di negeri itu selaras dengan pengumuman kenaikan gaji penjawat awam oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1 Mei lalu.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, penentuan kadar baharu itu akan dibuat berdasarkan kedudukan kewangan kerajaan negeri.

“Dari segi penjawat awam untuk negeri Johor, InsyaAllah kita juga akan selari dengan apa yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri.

“Tetapi kita perlu lagi kaji untuk memastikan dari segi kedudukan kewangan kita mencukupi dan memastikan kadarnya dan bila kita hendak buat (laksana).

“Itu semua memang dalam kajian di peringkat negeri pada ketika ini, sama juga macam Perdana Menteri akan buat keputusan dalam masa terdekat, InsyaAllah pada akhir tahun ini,” katanya pada sidang media di Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke-39 Persatuan Nelayan Negeri Johor dan Jamuan Hari Raya, di sini, semalam.

Pada 1 Mei sempena Hari Pekerja, Perdana Menteri mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus bermula Disember ini, antara tertinggi dan terbaik dalam sejarah negara.

Anwar dilaporkan berkata, pelarasan gaji penjawat awam itu akan membabitkan peruntukan mencecah lebih RM10 bilion berikutan jumlah kenaikan yang besar.

Beliau menjelaskan dengan pelarasan itu nanti, pendapatan minimum penjawat awam merangkumi gaji dan elaun tetap, perlu melebihi RM2,000 sebulan.-BH Online