Malaysia mengambil pendekatan holistik dalam berdepan cabaran global dengan memberi penekanan kepada resolusi aman dan pembangunan mampan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, negara turut memainkan peranan aktif dengan melaksanakan pelbagai kerjasama keselamatan bagi membentuk dunia lebih selamat dan stabil untuk generasi akan datang.
Katanya, adalah penting untuk menyediakan asas kepada dunia yang lebih baik yang mana generasi akan datang boleh berkembang maju dalam keamanan, dilindungi oleh pertahanan dan perkongsian strategik yang diusahakan hari ini.
“Dunia kini berdepan landskap global yang semakin berpecah-belah dan cabaran global yang mengancam keselamatan dan kemakmuran bersama.
“Ancaman yang semakin meningkat ini mendorong dunia ke arah titik perubahan yang belum pernah berlaku dan menuntut tindak balas yang bersatu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada ucapan pembukaan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 di di Pusat Pameran Perdagangan Antarabangsa (MITEC) di sini, hari ini.
Anwar berkata, negara berdepan pelbagai ancaman antaranya serangan siber yang menjejaskan data sensitif, keselamatan dan kepercayaan yang menjadi pegangan masyarakat serta ekonomi.
Bagaimanapun, katanya cabaran yang dihadapi bukanlah sesuatu yang terpencil, namun saling berkaitan dengan krisis global yang lebih luas.
“Perkara ini menuntut tindak balas dan strategi kolektif…. disinilah Pameran DSA dan NATSEC Asia 2024 memberikan sinar harapan.
“Dalam beberapa hari akan datang, kita mempunyai peluang besar untuk mengadakan dialog penting antara negara, sektor pertahanan dan industri keselamatan,” katanya.
Pameran DSA dan NATSEC Asia 2024 yang bermula hari ini, mempamerkan teknologi dan aset peperangan elektronik tercanggih di dunia dalam sektor pertahanan darat, udara dan laut.
Acara dwitahunan yang memasuki edisi ke-18 kali ini membawa tema ‘Building Resilient Nations For The Next Generation’ itu disertai lebih 1,200 syarikat dari 45 negara.
Sebanyak 30 negara mengesahkan penyertaan dalam pameran itu antaranya Amerika Syarikat, China, Australia, Brazil, Jerman, India, Perancis, Itali, Korea Selatan, Turkiye, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan United Kingdom.
Turkiye sekali lagi muncul sebagai kontinjen terbesar pada Pameran DSA dan NATSEC 2024 dengan hampir 70 syarikat dari negara Mediterranean itu mengesahkan penyertaan termasuk Aselsan, Canik, Dearsan Shipyard dan Turkish Aerospace Industries.
Perancis juga akan turut membawa 30 syarikat dengan 15 daripadanya ditempatkan di pavilionnya.
Penyertaan syarikat tempatan pula termasuk DEFTECH, Advanced Defence System, OpenApps, MILDEF, Sapura, Malvus Sense, Weststar Group, Nadi Corp, SME Ordnance, System Consultancy Services dan Mindmatics.
DSA dan NATSEC 2024 terbuka kepada delegasi peringkat tinggi, kakitangan kerajaan, profesional dan eksekutif dalam industri pertahanan dan keselamatan serta polis dan agensi penguatkuasaan sahaja.-BH Online