Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) masih sedang meneliti lokasi terbaik untuk membina sebuah velodrom terutama di Lembah Klang dalam usaha menarik lebih ramai bakat muda dapat menyertai sukan berbasikal trek. 

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, pembinaan fasiliti itu bakal membantu program pembangunan bakat sekali gus meramaikan lagi atlet baharu yang boleh diketengahkan di peringkat antarabangsa.

“Untuk berbasikal trek ini apa yang saya nak usahakan sekarang adalah fasiliti untuk pembangunan bakat ini boleh berlaku. Kalau tidak sekarang ini di Lembah Klang…. velodrom (Nasional) di Nilai. Walaupun begitu, sukan ini elit dan sukan yang kita banyak taruh harapan untuk dapatkan pingat. 

“Namun kalau pelajar sekolah sekarang ini terutama di Lembah Klang, kalau mereka nak sertai sukan ini, tak ada tempat yang nak pergi (di kawasan Lembah Klang). Itu yang saya sedang usahakan di KBS untuk kita ada velodrom terbuka,” kata Hannah ketika ditemui media selepas majlis Anugerah Bina Badan Enrich 2024, hari ini.

Mac lalu, Hannah memaklumkan KBS sudah memulakan perbincangan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk meneliti kawasan sesuai bagi pembinaan velodrom terbuka bagi kegunaan awam.

Hannah pada ketika itu berkata, velodrom berkenaan dicadang dibina secara asas serta kurang kos penyelenggaraan selepas mendapat pandangan daripada jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang dan Pengarah Teknikal skuad berbasikal negara, John Beasley.

Dalam majlis anugerah berkenaan, Hannah turut memberikan sumbangan di bawah peruntukan menteri sebanyak RM20,000 kepada Kelab Bina Badan Enrich bagi meneruskan program yang kali pertama dianjurkan itu. 

“Ini adalah peruntukan menteri untuk kelab yang menganjurkan program ini. Beli trofi, sijil dan semua itu memerlukan kos dan ini adalah inisiatif mereka. Mereka tak pernah minta saya bagi duit pun untuk program ini,” kata Hannah.-BH Online