Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Tiga pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditahan selepas disyaki melakukan pemerasan sebanyak RM1.25 juta terhadap individu yang disiasat oleh mereka berhubung kes mata wang kripto.

Ketiga-tiga mereka berusia antara 38 hingga 50 tahun berpangkat Asisten Komisioner (ACP), Superintendan dan Inspektor yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), ditahan di sekitar Jalan Tun Razak, di sini.

Bagaimanapun tarikh dan masa tangkapan dilakukan tidak diketahui.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan awal yang dijalankan mendapati semua suspek menafikan pembabitan dalam kes yang disiasat.

“Siasatan pada masa ini dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian Undang-Undang/Pendakwaan (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan,” katanya.

“Permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah, akan dibuat pada esok (4 Mei),” katanya kepada BH hari ini.

Razarudin berkata, kes masih di peringkat siasatan dan orang ramai dinasihati tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

“PDRM memberi jaminan akan menjalankan siasatan secara menyeluruh,” katanya.

Beliau juga berkata, PDRM sedang giat mengumpulkan maklumat risikan serta bukit secukupnya bagi memastikan kesemua yang terbabit dapat dibawa ke muka pengadilan.-BH Online