Sorting by

×

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) komited melahirkan sekurang-kurangnya 35 peratus tenaga kerja tempatan yang mempunyai kemahiran baharu dalam ekonomi abad ke-21 ini.

Menterinya, Steven Sim, berkata sebagai barisan hadapan untuk sektor latihan dan kemahiran, kementerian itu sentiasa berusaha bagi memberi latihan kemahiran yang boleh menukar kehidupan seseorang itu.

Menerusi peruntukan bajet RM2.6 bilion yang diumumkan pada sambutan Hari Pekerja baru-baru ini, beliau berkata, kementerian juga berusaha menyediakan peluang kemahiran berkualiti tinggi kepada pekerja di negara ini dengan kerjasama daripada HRD Corp.

“Malah pengumuman syarikat gergasi Microsoft untuk melabur sebanyak RM10.5 bilion membabitkan infrastruktur di negara ini juga begitu positif dalam perkembangan sektor berkemahiran tinggi.

“Ini kerana difahamkan, jumlah pelaburan itu juga akan membabitkan latihan kepada 200,000 rakyat negara ini dalam sektor berkemahiran tinggi ini,” katanya pada majlis sambutan Aidilfitri HRD Corp, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif HRD Corp, Datuk Shahrul Dawood.

Sementara itu, Ketua Pegawai Program HRD Corp, Soffian Amin, berkata HRD Corp akan menyediakan lebih 25,000 kursus berkaitan tenaga mahir dan kemahiran sempena Minggu Latihan Kebangsaan 2024 (NTW 2024) yang akan berlangsung bermula 24 hingga 30 Jun ini.

Katanya, kursus yang akan diadakan itu adalah secara percuma dan menggesa orang ramai mengambil peluang ini untuk meneroka pelbagai bidang baharu termasuk keselamatan, teknologi hijau dan kemahiran kendiri.

“Berdasarkan penganjuran NTW tahun lalu, kebanyakan kursus yang ditawarkan lebih kepada permohonan kendiri. 

“Untuk tahun ini, kita tawarkan kursus-kursus yang bertaraf tinggi dan melihat kemahiran masa hadapan termasuk kecerdasan buatan (AI), kemahiran robotik dan teknologi dron.

“Buat masa sekarang HRD Corp sangat mengalu-alukan pembabitan syarikat besar seperti penyertaan Microsoft dalam berkongsi tenaga kepakaran sedia ada kepada rakyat negara ini,” katanya.-BH Onine