Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kerajaan menyedari banyak perkara yang perlu dimuhasabah dalam mengimbangi usaha menjamin kebebasan media dan melawan fitnah serta penyebaran maklumat palsu, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil,

Menerima laporan Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) mengenai kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media dengan hati terbuka, beliau bersama pasukannya akan menghadam laporan itu dan merangka usaha lebih mapan ke depan.

“Saya terima laporan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) RSF ini dengan hati terbuka,” katanya menerusi hantaran di laman X.

Terdahulu, Laporan Indeks Kebebasan Media Dunia 2024 yang disiarkan RSF hari ini menunjukkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media Dunia jatuh 34 anak tangga ke kedudukan ke-107 berbanding 73 tahun lalu.

Menurut laporan itu, Malaysia memperoleh skor 52.07 mata.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ), Wathshlah G Naidu, menggesa kerajaan menyegerakan penubuhan Majlis Media Malaysia (MMC) sebagai badan kawal selia kendiri pelbagai pemegang taruh yang telus dan bebas untuk industri, dengan mengguna pakai kerja-kerja dirangka Jawatankuasa Protem yang ditubuhkan pada Januari 2020.

“Ia mestilah bebas daripada campur tangan kerajaan, termasuk dalam mekanisme membuat keputusannya, di samping memiliki sumber yang mencukupi,” katanya dalam kenyataan hari ini. – BERNAMA