Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Perikatan Nasional (PN) terpaksa bermain dengan isu kaum dan agama termasuk berkaitan sekolah vernakular pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu kerana pemimpin parti itu sudah ketandusan idea, kata Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil.

Justeru, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi meminta jentera PN bagi PRK KKB itu supaya menghentikan bermain dengan sentimen perkauman kerana ia ibarat “senjata makan tuan.”

“Berapa ramai pimpinan PAS hantar anak (mereka) ke sekolah Cina malah saya difahamkan cucu Hadi (Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang) dihantar ke sekolah Cina,” katanya kepada media selepas merasmikan pejabat Pakatan Harapan (PH) Putrajaya di Presint 11, hari ini.

Fahmi berkata, Malaysia adalah sebuah negara yang rakyatnya mengamalkan sikap kesederhanaan dan parti politik yang memainkan isu perkauman termasuk sekolah vernakular adalah tidak matang.

Fahmi berkata, ketika ini dalam situasi ‘panic mode’ kerana walaupun sudah masuk hari kelima kempen PRK KKB, pemimpin utama PAS didakwa masih memboikot PN.

“Kita ingatkan diboikot itu Starbucks, KFC rupanya calon PN pun kena boikot,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari mempolitikkan latar belakang pendidikan calon Kerajaan Perpaduan pada PRK Kuala Kubu Bharu, Pang Sock Tao.

Pada PRK berkenaan, Sock Tao ditentang oleh tiga pencabarnya iaitu Khairul Azhari Saut (PN), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 11 Mei ini sebagai hari mengundi, manakala pengundian awal pada 7 Mei.– BERNAMA