Persidangan Ulama Sedunia yang bakal menghimpunkan pemimpin Islam dan bukan Islam global pada 7 dan 8 Mei ini, bakal menjadi wadah bagi membincangkan peranan pemimpin agama dunia dalam memelihara keamanan serta kesejahteraan sejagat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata perkara itu adalah matlamat utama persidangan berkenaan yang dijangka dihadiri lebih 1,500 peserta dari seluruh dunia.
“Konteks perbincangan adalah perpaduan… keamanan sejagat dan keharmonian itu asas kita adakan persidangan, bukan sahaja berbincang secara khusus mengenai agama.
“…sebab kita mahu melihat dan mengajak bagaimana sumbangan boleh diberikan oleh pemimpin agama dunia dalam memastikan keamanan sejagat jika berlaku sebarang konflik,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rahmah Syawal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP): Jalinan Aidilfitri Bersama Asnaf, di sini, hari ini.
Setakat ini, Mohd Na’im berkata, perbincangan berhubung penganjuran persidangan itu berjalan lancar dan beliau sendiri telah menghantar surat jemputan kepada menteri-menteri dan rakan sejawat yang memegang portfolio menteri agama Islam.
“Antara jemputan yang telah dihantar ialah kepada Menteri Agama Brunei, Singapura, Indonesia, Mauritius serta Maghribi, dan masih menunggu maklum balas.
“Pada masa sama, pihak Muslim World League dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengenal pasti pemimpin agama dunia untuk dijemput dan akan dikongsikan senarai mereka tidak lama lagi,” katanya.
Persidangan Ulama Sedunia akan diadakan di Petaling Jaya, Selangor, pada 7 dan 8 Mei ini.
Persidangan pertama dijadual dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, manakala hari kedua persidangan ulama peringkat ASEAN akan dirasmikan oleh Mohd Na’im sendiri. – BERNAMA