Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Malaysia menerima ketibaan 5.8 juta pelancong asing dari Januari hingga Mac tahun ini, iaitu pertumbuhan 32.5 peratus berbanding 4.3 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, berkata 10 pasaran utama menjana pelancong ialah Singapura, Indonesia, China, Thailand, Brunei, India, Korea Selatan, Australia, United Kingdom dan Filipina.

“Selain itu, bermula Januari hingga April 2024, Malaysia turut menerima penerbangan sewa khas dari Nanjing, Chengdu, Zhengzhou, Chongqing, Xi’an, Shenyang, Nanchang dan Guangzhou, keseluruhan 22 penerbangan khas setiap minggu dari bandar-bandar tersebut dengan anggaran 3,600 penumpang seminggu.

“Terkini, kita mempunyai 15 laluan tambahan baharu, termasuk Wuhan ke Kuala Lumpur, Ahmeddabad ke Kuala Lumpur, Incheon ke Kota Kinabalu dan Almaty ke Kuala Lumpur,” katanya ketika berucap pada sesi perangkaian (networking) Tourism Malaysia mengenai hala tuju strategik ke arah Tahun Melawat Malaysia 2026 (VMY2026), di sini hari ini.

Beliau berkata pengecualian visa 30 hari untuk pelancong dari China dan India sebagai sebahagian pelan liberalisasi visa turut terbukti berjaya merangsang ketibaan pelancong di Malaysia.

Justeru Tiong berkata, pemudahan visa berserta kebolehcapaian yang ditambah baik dan keterhubungan penerbangan ialah komponen penting untuk menarik sekitar 36 juta ketibaan pelancong dan menjana potensi hasil RM150 bilion resit pelancong untuk VMY2026.

Sementara itu, Tiong berkata selain mempergiatkan strategi penukaran berimpak tinggi dan pantas dalam pendekatan pemasaran, semua pihak berkepentingan perlu memanfaatkan kekuatan mereka dalam semua saluran jualan dan pemasaran yang ada untuk mencapai potensi.

“Kita juga perlu memastikan kesediaan destinasi disasarkan termasuk di setiap negeri, di samping membangunkan produk dan pakej pelancongan baharu yang unik serta pembangunan pelancongan khusus, termasuk pelancongan berasaskan alam semula jadi, kebudayaan dan warisan, pelancongan pengalaman dan bertanggungjawab serta banyak lagi.

“Kita akan terus bekerjasama dengan Malaysia Airports Holdings Berhad, Kementerian Pengangkutan (MOT), serta syarikat penerbangan antarabangsa tempatan untuk meningkatkan kekerapan penerbangan, pembangunan laluan baharu dan kapasiti tempat duduk, terutamanya dari pasaran utama seperti Asia Barat, China, India dan Korea,” katanya. – BERNAMA