Kerajaan akan membincangkan tindakan terhadap laporan sebuah agensi berita asing baru-baru ini berkait dakwaan rancangan mengeluarkan lesen bagi pengoperasian kasino di Forest City, Johor dalam mesyuarat Kabinet hari ini.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata segala tindakan yang bakal diambil berkemungkinan selepas mesyuarat berkenaan.
“Kita ada mesyuarat Jemaah Menteri esok. Jadi, (segala tindakan) mungkin selepas daripada itu.null
“Tapi, saya difahamkan ada beberapa laporan polis telah dibuat dan saya belum lihat laporan polis itu.
“Jadi, mungkin saya kena tunggu mesyuarat Jemaah Menteri dahulu,” katanya selepas melakukan lawatan di Pusat Media Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu, di sini hari ini.
Sebelum ini, agensi berita itu mendakwa pengasas Berjaya, Tan Sri Vincent Tan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Genting, Tan Sri Lim Kok Tay sedang berbincang dengan kerajaan berhubung pembukaan sebuah kasino di Forest City, Johor.
Laporan yang memetik satu sumber itu berkata perbincangan mengenai pemberian lesen itu masih di peringkat awal.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kemudian menafikan laporan yang mendakwa kerajaan akan mengeluarkan lesen untuk pengoperasian kasino di Forest City, Johor itu.
Dalam pada itu, Fahmi mengingatkan semua pihak yang terbabit dalam PRK Kuala Kubu Baharu agar berkempen secara sederhana.
“Janganlah kita bersikap keterlaluan, melampau atau terbawa-bawa dengan beberapa sikap kerana kita tahu undang-undang sedia ada tidak membenarkan kita terutamanya berkempen menggunakan 3R (agama, kaum dan raja) sebagai contoh,” katanya.
Fahmi turut menyatakan pihaknya serba salah mengenai tindakan tegas yang perlu diambil terhadap mereka yang memfitnah dan menyebarkan berita palsu.
“Saya pun serba salah sebab ada netizen yang mengeluh menteri lembab atau tidak mengambil tindakan tegas manakala ada juga netizen yang mengeluh mengatakan kononnya saya diktator dan bersifat kuku besi.
“Jadi saya tak pasti adakah kita mengambil tindakan yang terlalu lambat atau adakah kita mengambil tindakan terlalu keras,” katanya.
Fahmi berkata segala tindakan yang diambil oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkait perkara itu adalah mengikut lunas undang-undang dan bukannya selera atau nafsu politik.
Katanya, SKMM adalah sebuah badan berkanun dan ada aktanya sendiri.
“Ia bertanggungjawab kepada Parlimen. Jadi tidak ada sikap, pilih kasih, pilih bulu. Sesiapa yang melanggar undang-undang, menyalahgunakan rangkaian sebagai contoh boleh diambil tindakan,” katanya.-BH Online