Sorting by

×

Kerajaan Selangor melalui Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) MBI memberikan Insentif Haji Muassasah 1445H/2024M berjumlah RM3 juta kepada 6,000 bakal jemaah muassasah di negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata menerusi insentif itu setiap bakal haji jemaah berkenaan akan menerima RM500 setiap seorang.

Katanya, peruntukan Insentif Haji Muassasah 1445H / 2024M itu diluluskan dalam Belanjawan Selangor 2024 pada November lalu.


“Jumlah bakal jemaah yang dibantu dan amaun yang diperuntukkan tahun ini adalah dua kali ganda berbanding tahun lalu. 

“Untuk memudahkan proses pendaftaran, bakal jemaah boleh memohon untuk Insentif Haji Muassasah bermula 6 Mei hingga 23 Ogos di Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

“Mereka hendaklah membawa salinan bercetak Jadual Penerbangan Haji Muassasah Tahun 2024 dengan paparan KOD MUAS,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Amirudin berkata insentif ini akan dilaksanakan melalui kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat DUN, Pejabat Penyelaras DUN, dan MBI.

“Saya berharap usaha ini dapat memudahkan urusan perjalanan bagi para jemaah yang bakal meraikan dhuyufurrahman pada tahun ini,” katanya.

Amirudin berkata sejak mula dilaksanakan dua tahun lalu, seramai 6,000 jemaah muassasah berjaya dibantu iaitu 3,000 jemaah pada 2022 manakala 3,000 lagi tahun lalu.-BH Online