Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah memuktamadkan proses perolehan empat helikopter bernilai RM600 juta untuk kegunaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata proses lanjut membabitkan perolehan itu sudah diserahkan kepada Kementerian Kewangan untuk membuat keputusan akhir.
“Perolehan aset itu adalah helikopter, empat unit membabitkan kos (berjumlah) RM600 juta, maknanya pada peringkat perolehan, KDN sudah memuktamadkannya dan prosesnya kita serahkan kepada Kementerian Kewangan untuk (membuat) keputusan akhir.
“Jadi itu semua sudah kita lakukan, berikutnya kita akan buat lawatan ke premis syarikat yang berjaya (peroleh tender) untuk kita bincangkan elemen keperluan pengguna, spesifikasi dan sebagainya,” katanya selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Bersama Warga Maritim Malaysia di sini, hari ini.
Ketua Setiausaha KDN, Datuk Ruji Ubi, sebelum ini dilaporkan berkata, Maritim Malaysia bakal mendapat aset baharu iaitu empat helikopter dan satu kapal induk bertujuan memantapkan operasi pasukan itu khususnya di perairan Sabah dan Sarawak.
Katanya, perolehan membabitkan peruntukan berjumlah RM600 juta sudah diluluskan bagi mendapatkan helikopter berkenaan yang akan ditempatkan di Pusat Operasi Udara Maritim Sandakan, Sabah.
Sementara itu, Saifuddin berkata, pihaknya masih meneruskan rundingan berhubung tawaran US Coast Guard yang mahu menyumbangkan dua kapal perondanya kepada Malaysia.
“Dalam lawatan saya pada September tahun lalu, saya melawat beberapa agensi termasuk US Coast Guard dan ketika itu tawaran dibuat untuk aset yang sekarang diguna pakai mereka, kalau Malaysia ada kesudian, mereka ingin memberikan sumbangan kepada Malaysia sebagai tanda dekatnya kerjasama.
“Saya sendiri dihubungi lagi baru-baru ini oleh Duta Amerika Syarikat (AS) yang mengulangi tawaran, memerlukan kita memberikan komitmen secara bertulis,” katanya.
Beliau berkata, Maritim Malaysia sudah melihat keupayaan aset berkenaan.
“Mereka (AS) melihat Malaysia sebagai satu negara yang ada elemen boleh mereka pelajari, pertama kerana luasnya kawasan laut kita kira-kira 590,000 kilometer persegi.
“Kedua, disebabkan kompleksnya ancaman laut (di perairan Malaysia) seperti jenayah dan pelbagai,” katanya.
Ditanya sama ada Maritim Malaysia akan menerima pertambahan anggota susulan penambahan asetnya, Saifuddin berkata, perkara itu akan diberi keutamaan.
“Hampir semua agensi bawah KDN, kita antara kementerian yang mana agensinya guna tenaganya sudah kami capai dan dengan ucapan Datuk Saiful Lizan Ibrahim (Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia) berhubung perjawatan, saya akan segera berbincang dengan Ketua Setiausaha KDN,” katanya.-BH Online