Sorting by

×

Kerajaan negeri melalui Barakah Haji Pahang memperuntukkan RM1.191 juta kepada 1,588 bakal jemaah haji negeri itu yang akan berangkat ke Tanah Suci menunaikan haji tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata daripada jumlah itu, jemaah haji menerima RM750 setiap seorang tahun ini berbanding RM500 seorang tahun lalu.

Katanya, seramai 1,588 bakal jemaah itu, masing-masing 917 lelaki dan 671 wanita yang akan melaksanakan Rukun Islam kelima itu.

“Insya-Allah, jika kedudukan kewangan kerajaan negeri bertambah baik, mungkin kita akan mengkaji semula peruntukan tambahan tetapi ia bukan dalam masa terdekat.

“Pada masa sama, kita juga akan memikirkan bantuan lain seperti yang disampaikan hari ini iaitu pek makanan yang dikenali Juadah Makmur Jemaah Haji kepada setiap jemaah.

“Ini kerana mereka berada di sana (Madinah dan Makkah) lebih daripada sebulan, sudah pasti ada masa akan teringat makanan Malaysia dan dengan adanya pek ini diharap mengubat rindu.

“Sebanyak empat pek makanan iaitu sedia untuk dimakan yang kita bekalkan iaitu dua pek nasi minyak ayam masak merah dan dua pek nasi berlauk daging opor.

“Jumlah peruntukan Juadah Makmur Jemaah Haji pada tahun ini ialah RM112,000,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian pada sidang media pada Majlis Perasmian Kursus Perdana Haji Dan Penyampaian Barakah Haji Pahang 2024 di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Justeru, beliau meminta semua bakal jemaah haji dapat memantapkan ilmu dan pemahaman berhubung pelaksanaan ibadah haji supaya mendapat kesempurnaan dalam menunaikan Rukun Islam itu.

“Pada masa sama, penjenamaan Barakah Haji Pahang yang sebelum ini dikenali Bantuan Haji Pahang sebagai tanda kita mensyukuri serta meraikan jemaah haji Pahang,” katanya.-BH Online