Sorting by

×

Malaysia dan China membincangkan inisiatif strategik bagi memperluas serta memperkukuh jalinan kerjasama sektor pendidikan tinggi Kuala Lumpur-Beijing sempena sambutan Ulang Tahun Ke-50 Hubungan Diplomatik Malaysia-China.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan memaklumkan, perbincangan itu diadakan sempena kunjungan hormat Menteri Pendidikan China, Huai Jinpeng, ke atas Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, di Putrajaya, semalam.

“Kedua-dua rakan sejawat itu telah bertukar-tukar pandangan mengenai landskap dan hala tuju pendidikan tinggi negara serta potensi kerjasama strategik yang boleh diterokai.

“Ia terutama dalam bidang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), sosiobudaya serta kolaborasi industri bagi pelajar-pelajar Malaysia, membabitkan perusahaan diterajui syarikat dari China seperti Huawei dan Geely,” menurut kenyataan itu.

Menurutnya, kerjasama penyelidikan dalam sektor teknologi maju seperti kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran, teknologi tenaga hijau, mikrocip serta automotif, turut dibincangkan.

Katanya, Zambry dan Jinpeng juga berpendapat kerjasama dalam sektor penyelidikan terbabit boleh dipertingkat melalui penubuhan sebuah pusat penyelidikan peringkat nasional antara kedua-dua negara.

Selain itu, kedua-dua pemimpin berkenaan menggalakkan kerjasama strategik, terutama antara institusi pendidikan tinggi Malaysia dan China, dalam pelbagai program pembangunan sains dan teknologi, perkongsian sumber, data teknikal, fasiliti, latihan, penyelidikan serta dialog ketamadunan.

Menurut KPT, Memorandum Persefahaman (MoU) antara Chinese Service Centre For Scholarly Exchange (CSCSE) dengan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) turut dimeterai pada sesi pertemuan berkenaan.

Menerusi MoU itu, CSCSE dan MQA akan bekerjasama bagi memudahkan pertukaran maklumat dan kepakaran mengenai rangka kerja kelayakan negara, proses akreditasi, serta mempromosikan kerjasama antarabangsa untuk pengiktirafan kelayakan dan kemahiran yang diperoleh melalui pendidikan tinggi.

“Kerjasama itu akan turut memperkukuh lagi program mobiliti akademik, perkongsian penemuan penyelidikan serta amalan terbaik dalam bidang jaminan kualiti sektor pendidikan tinggi Kuala Lumpur-Beijing,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA