Sorting by

×

Semua kementerian berkaitan sudah diagihkan tanggungjawab masing-masing untuk membantu waris mangsa tragedi dua helikopter terhempas di ruang udara Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut pada 23 April lalu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata agihan tugas itu sudah dipersetujui kementerian berkaitan bagi memastikan waris berkenaan mendapat bantuan serta pembelaan sewajarnya.

Dalam konteks itu, beliau berkata, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan menyediakan kaunseling untuk keluarga, terutama balu dan anak-anak mangsa yang masih kecil.

“Bagi anak mangsa yang melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT) pula, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sudah mengumumkan bantuan kos pengajian mereka akan ditanggung, selain memberi khidmat kaunseling kepada pelajar terbabit.

“Bagi anak-anak mangsa yang masih bersekolah, Kementerian Pendidikan (KPM) menyediakan kaunselor bagi membantu memulihkan semangat mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menziarahi keluarga mendiang Laskar Kanan JJM Joanna Felicia Rohna, di Kampung Engkaroh, di sini, hari ini.

Secara keseluruhan, Nancy berkata, 10 mangsa yang terkorban dalam tragedi itu meninggalkan 21 anak, termasuk ada yang sedang mengikuti pengajian di IPT.

“Bantuan kaunseling diperlukan bagi meredakan kemurungan yang dialami waris. Sekarang mungkin kesannya belum ketara kerana masih ramai saudara-mara bersama mereka.

“Namun, kita bimbang selepas seminggu atau lebih, mereka akan mengalami kemurungan dan ia memerlukan khidmat kaunseling,” katanya.-BH Online