Kementerian Perladangan dan Komoditi memberi jaminan akan membantu FELDA mengatasi masalah kronik yang dihadapi untuk mentadbir 350,000 hektar ladang kelapa sawit di bawahnya.
Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata salah satu isu utama yang dibangkitkan masalah kekurangan pekerja asing untuk menjalankan aktiviti perladangan.
“Kementerian menyatakan komitmen untuk membantu FELDA mendapatkan tenaga kerja selaras keputusan dipersetujui oleh Jemaah Menteri bahawa sektor perladangan khususnya bagi ladang kelapa sawit dan getah ini diberi keutamaan mendapatkan pekerja asing.
“Ini kerana sektor ladang ini sebahagian dari sektor 3D yang agak kritikal melibatkan ‘difficult’ (sukar), ‘dangerous’ (berbahaya) and ‘dirty’ (kotor)” katanya melalui Facebook hari ini.
Johari berkata, isu berkenaan dibangkitkan ketika pertemuan beliau bersama Pengerusi FELDA, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan pegawai kanan badan berkanun itu.
Mengulas usaha lain akan diambil, beliau berkata kementerian akan turut bekerjasama dengan FELDA untuk mewujudkan kelompok kluster pekebun kecil yang disatukan.
“Ia akan membabitkan sekitar saiz antara 8,000 hingga 10,000 hektar ladang sawit bagi membolehkan mereka mengguna pakai amalan pengurusan ladang yang lebih efisien melalui mekanisasi dan teknologi yang lebih baik untuk menuai sawit.
“Ini sekali gus mampu menambah kapasiti pengeluaran minyak sawit mentah,” katanya.
Sebelum ini Johari menyatakan pelaksanaan model kluster pekebun kecil kelapa sawit dijangka menyumbang kepada penambahan sembilan juta tandan buah segar (FFB) yang dapat menghasilkan kira-kira 1.8 juta tan minyak sawit mentah, sekiranya semua 1.5 juta hektar milik pekebun kecil boleh disatukan menjadi kluster 10,000 hektar.
Beliau berkata, kementeriannya sedang berusaha menyatukan semua pekebun kecil bebas kelapa sawit dan membentuk kluster lebih besar dalam usaha meningkatkan lagi pengeluaran hasil sawit negara.
“Contohnya jika setiap pekebun kecil bebas ada empat hektar, kita kumpulkan semua jadi satu kluster dalam satu kawasan dan (jika) boleh mencapai 10,000 hektar, maka kita boleh guna amalan pengurusan ladang yang baik supaya hasil setiap hektar boleh meningkat,” katanya.-BH Online