Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia kini menjadi perhatian dunia sebagai destinasi pelaburan unggul berikutan kestabilan politik dan dasar ekonomi yang jelas.

Perdana Menteri berkata, dasar-dasar seperti Transformasi Digital, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NTER) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 membantu pelabur melihat kekuatan yang ada pada negara.

“Malaysia sekarang dengan pelaburan (seperti) Infineon, Nvidia dan puluhan lagi, memerlukan 30,000 jurutera yang tak dapat kita isi sepenuhnya.

“Maka, tumpuan ibu bapa dan anak-anak Melayu mestilah di lapangan sains dan matematik serta TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) yang diusahakan secara gigih oleh (Timbalan Perdana Menteri) Datuk Seri (Dr Ahmad) Zahid (Hamidi) untuk meningkatkan keupayaan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2024 peringkat negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini malam ini.

Turut hadir Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam; Ahmad Zahid; Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh serta Menteri Sumber Manusia, Steven Sim.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan menegaskan Malaysia akan terus ketinggalan dalam bidang teknikal, digital dan semikonduktor yang diperlukan dunia ketika ini sekiranya dalam kalangan masyarakat masih tidak berkesudahan membahaskan perkara remeh.

Beliau berkata, sikap sedemikian bukan hanya merencatkan usaha memperkasa bidang berkenaan yang semakin mendapat permintaan tinggi, malah juga merugikan negara.

“Jangan kita terus perbahaskan hal remeh yang tidak berkesudahan (sebaliknya) tumpu manfaat waktu untuk mendidik anak-anak kita.

“Penuhi ruang lapang dengan pendidikan dan ilmu kerana negara memerlukan tenaga baharu (selain) memerlukan anak-anak yang mahir dan pakar dalam teknologi maklumat (IT), teknikal digital serta kejuruteraan semikonduktor.

“Jadi ini semua harus kita siapkan dengan peluang yang terlalu banyak ketika ini,” katanya.

Perdana Menteri juga berkata beliau benar-benar mengharapkan supaya perubahan sikap dan minda semua pihak untuk mengelak daripada negara terus ketinggalan.

“Kalau tidak (berubah) kita akan ketinggalan kerana kita harus bertempur dalam hal yang titik bingit, berlarutan bergaduh dalam hal-hal kecil dan meninggalkan perkara pokok.

“(Tindakan itu menyebabkan) kita ketinggalan, bukan sahaja dalam kalangan kaum yang bersaing tetapi dalam kalangan negara-negara maju,” katanya.-BH Online