Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam akan melakukan pemantauan lanjut projek penerokaan minyak dan gas (O&G) baharu Petronas di lembangan Langkasuka di kawasan utara Selat Melaka.

Ia susulan kebimbangan dibangkitkan badan pemantau Rimbawatch mengenai kemungkinan implikasi dicetuskan projek penerokaan yang mana jaraknya hanya 30 kilometer (km) dari Pulau Pinang dan 20km dari Langkawi.

Ia susulan kebimbangan dibangkitkan badan pemantau Rimbawatch mengenai kemungkinan implikasi dicetuskan projek penerokaan yang mana jaraknya hanya 30 kilometer (km) dari Pulau Pinang dan 20km dari Langkawi.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata beliau difahamkan projek itu ketika ini masih di peringkat eksplorasi dengan proses pemantauan dijalankan dari semasa ke semasa.

“Saya percaya Petronas juga memberi perhatian akan perkara ini dan pihak mereka juga sangat peka akan keperluan untuk adanya peralihan yang adil kepada tenaga lebih lestari,” katanya pada sidang media Program Felo Keadilan di Ibu Pejabat KEADILAN, di sini, hari ini.

Rimbawatch dalam kenyataannya sebelum ini khuatir dengan penerokaan O&G itu bukan sahaja menjejaskan tanggungjawab mitigasi Malaysia, malah mengancam kepelbagaian kehidupan biologi marin pantai serta menjejaskan mata pencarian masyarakat nelayan serta pelancongan tempatan.

Dalam pada itu Nik Nazmi menegaskan semua projek baharu yang dikhuatiri memberi impak kepada alam sekitar akan melalui proses pemantauan untuk memastikan ia mematuhi piawaian kepada perlindungan alam sekitar.

“Kita juga berpegang kepada muafakat dibuat melalui persidangan iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), COP28, bahawa untuk kita bergerak ke depan, perlu ada peralihan daripada tenaga fosil.

“Kita percaya peralihan perlu dibuat (secara) adil, malah Malaysia juga sangat bergantung kepada sumber bumi Petronas sebagai penyumbang terbesar,” katanya.

Tambahnya, penelitian kepada projek yang dijangka memberi impak kepada kelestarian alam sekitar akan terus diberi tumpuan, bagi memastikan mereka mematuhi standard yang ditetapkan.-BH Online