Sorting by

×

Anak-anak kepada aktivis kemanusiaan, Muhammad Nadir Al-Nuri, teruja melihat telur dan tembikai sejurus tiba di negara ini dari Gaza, kerana sudah lama tidak dapat menikmati makanan asas itu di wilayah bergolak itu.

Perkara itu dikongsikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mengakui terkesan mendengar cerita terbabit ketika meluangkan masa bertemu Nadir bersama isteri dan anak-anak pasangan itu, petang tadi.

Isteri Nadir, Reem Al-Minawi, turut hadir pada pertemuan yang berlangsung di Kompleks Seri Perdana itu. 

Yang turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dalam pertemuan itu, Perdana Menteri turut menyatakan tekad untuk terus membantu sedaya upaya dalam memudahkan urusan menyalurkan bantuan kemanusiaan dari Malaysia kepada rakyat Palestin. 

“Alhamdulillah, gembira melihat isteri dan anak-anak Muhammad Nadir yang kini berada dalam keadaan baik selepas melalui penderitaan yang panjang di Semenanjung Gaza. 

“Saya mendoakan saudara Nadir dan keluarganya dapat meneruskan kehidupan dengan tenang. 

“Saudara Nadir turut berkongsi kisah yang begitu mengesankan, di mana anak-anaknya teruja melihat telur dan tembikai ketika mula sampai ke Malaysia kerana sudah berbulan lamanya tidak dapat menikmati makanan asas itu akibat situasi perang yang terus memburuk di sana,” katanya melalui kenyataan di Facebook.

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, melalui pertemuan itu mereka turut berbicara panjang mengenai penderitaan rakyat Palestin, pendirian Malaysia serta pengalaman anggota keluarga aktivis berkenaan keluar dari zon konflik sebelum pulang ke Malaysia. 

Sebelum ini, Muhammad Nadir meninggalkan Gaza susulan beberapa urusan di Malaysia sebelum konflik Israel-Palestin meletus pada 7 Oktober lalu. 

Sejak itu, beliau terpisah dengan isteri dan anaknya, selain hanya mampu berhubung dengan mereka selang dua hari akibat rangkaian telekomunikasi serta liputan internet mengalami gangguan. 

Pada Mei 2016, Muhammad Nadir berkahwin dengan Reem yang juga seorang balu pejuang Palestin, selepas berkenalan selama tiga tahun dengan pilihan itu dibuat sebagai kaedah memudahkan perjuangannya.-BH Online