Sorting by

×

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dijadualkan menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI Peringkat Kebangsaan yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu, Sabtu ini.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, berkata majlis yang diadakan dengan kerjasama kementeriannya dan Kerajaan Sabah itu akan turut dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata, majlis berkenaan adalah platform untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang, berkumpul dengan semangat perpaduan dalam suasana harmoni.

“Aidilfitri telah menjadi satu perayaan yang menyatukan hati dan merapatkan ikatan dalam kalangan masyarakat Malaysia.

“Tradisi rumah terbuka dengan masyarakat dari pelbagai latar belakang budaya dan agama berkumpul untuk berkongsi kebahagiaan serta keceriaan, telah menjadi satu kebiasaan yang diwarisi dari generasi ke generasi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Aaron berkata, majlis sambutan Aidilfitri bertema ‘Perpaduan Melalui Perayaan’ itu wajar dijadikan alat penyatuan seluruh Bangsa Malaysia serta teras perpaduan yang merupakan kunci utama keharmonian rakyat dan negara.

Beliau berkata, majlis itu turut menandakan bermulanya Jelajah Kembara Perpaduan sempena Sambutan Minggu Perpaduan 2024 pada Mei depan, dan orang ramai dijemput beramai-ramai memeriahkannya. – BERNAMA