Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri mengarahkan pegawainya bagi menyiasat dakwaan seorang wanita yang dilayan dengan tidak sewajarnya oleh pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Nancy berkata, pegawai dari pejabatnya itu sudah menemui pasangan terbabit pagi tadi bagi mengetahui situasi sebenar yang berlaku.
Menurutnya, siasatan juga sedang dijalankan terhadap dua pegawai JKM yang didakwa biadap terhadap pasangan terbabit seperti yang dilaporkan sebuah portal berita.
“Dakwaan itu membabitkan pegawai JKM dan saya mengarahkan pegawai dari pejabat menteri untuk menangani isu itu sekarang.
“Pegawai saya sudah menemui pasangan itu yang kini tinggal sementara di kediaman yang disediakan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya kepada media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediaman tokoh korporat, Tan Sri Bustari Yusof, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan sebuah portal berita yang mendakwa seorang wanita di ibu negara yang dilayan dengan tidak sewajarnya oleh dua pegawai JKM.
Wanita terbabit, Zaleha Haron, mendakwa mereka didatangi dua orang pegawai JKM yang bertindak biadap selepas laporan dia hidup bergelandangan bersama suaminya disiarkan portal terbabit, MalaysiaNow.
Menurut laporan itu, wanita terbabit dan suaminya terpaksa menjadi gelandangan di Kuala Lumpur sejak November tahun lalu selepas diusir anaknya sendiri dari Kulim, Kedah.
Mereka kemudian tinggal di kaki lima yang berdekatan tempat kerjanya.
Laporan itu juga mendakwa, dua pegawai JKM terbabit memaksa pasangan suami isteri itu mengemas barang mereka dan meninggalkan Kuala Lumpur.
Mengulas lanjut, Nancy berkata, berdasarkan maklum balas awal yang diterima daripada pegawainya, wanita terbabit tidak mahu terus menerima bantuan, sebaliknya mahu mencari pendapatan sendiri dengan bekerja sebagai pembantu kedai makan di Kompleks Kota Raya.
“Dia mahu tinggal di lokasi yang berdekatan dengan tempat kerja dan kita ada menawarkan Anjung Singgah, namun suaminya enggan tinggal di sana dengan alasan ramai orang di Anjung Singgah.
“Selepas itu, kita menawarkan mereka kediaman sementara di rumah transit dan ini sedang diuruskan,” katanya.-BH Online