Bekalan elektrik terputus dikenalpasti antara punca berlaku gangguan bekalan air di beberapa kawasan di Muadzam Shah dan Keratong di Rompin sebelum dan selepas Aidilfitri.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Razali Kassim yang mengesahkannya berkata masalah berkenaan sudah pun diatasi dan kini beberapa Loji Rawatan Air (LRA) kembali beroperasi seperti biasa.
“Kita jangkakan gangguan bekalan air ini akan pulih sepenuhnya minggu ini dan gangguan bekalan yang ketara berlaku adalah di kawasan tinggi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Razali yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muadzam Shah berkata demikian ketika diminta mengulas gangguan bekalan air yang dikatakan berlaku di beberapa kawasan di Muadzam Shah dan Keratong hingga menyukarkan pengguna.
Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) difahamkan menyediakan tangki statik dan lori tangki untuk kemudahan kepada pengguna yang berdepan gangguan bekalan air itu.
Sementara itu, menerusi hantaran Facebook rasmi PAIP, insiden luar jangka itu segera ditangani menerusi Pelan Kesiapsiagaan PAIP dengan kerjasama erat Tenaga Nasional Berhad (TNB).
“TNB segera bertindak membaik pulih sistem bekalan elektrik ke LRA kembali seperti sedia kala seterusnya sistem rawatan air dapat dijalankan.
“Oleh itu, kesabaran pengguna yang terbabit amatlah dihargai dan sama-sama kita doakan semoga semua operasi di seluruh negeri Pahang berjalan lancar terutama ketika musim perayaan,” menurut hantaran itu.-BH Online