Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Malaysia dan Pakistan mahu meneroka ruang untuk memperhebatkan hubungan Malaysia-Pakistan terutamanya dalam bidang perdagangan dan pelaburan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri yang menerima panggilan telefon daripada rakan sejawatnya dari Pakisnta, Shehbaz Sharif, malam tadi, berkata kedua-dua pemimpin itu juga menzahirkan harapan supaya hubungan kedua-dua negara akan terus diperkukuh.

Malah, beliau berkata, Perdana Menteri Pakistan itu turut mengulangi undangannya kepada saya untuk mengadakan lawatan rasmi ke Pakistan secepat mungkin.

Bulan lalu, Parlimen Pakistan memilih Shehbaz Sharif sebagai perdana menteri ke-24 negara itu untuk penggal kedua.

Shehbaz ialah adik kepada Presiden Liga Muslim Pakistan-Nawaz (PML-N) Nawaz Sharif yang sebelum ini pernah menjadi Perdana Menteri sebanyak tiga kali.

“Malam tadi saya telah menerima panggilan telefon daripada rakan sejawat dari Pakistan, Shehbaz Sharif.

“Kami berbalas ucapan Eid Mubarak di samping menzahirkan harapan agar hubungan kedua-dua negara akan terus diperkukuh.

“PM Shehbaz turut mengulangi undangannya kepada saya untuk mengadakan lawatan rasmi ke Pakistan secepat mungkin.

“Menerusi perbualan telefon tersebut, kami senada mahu meneroka ruang untuk memperhebatkan hubungan Malaysia-Pakistan terutamanya dalam bidang perdagangan dan pelaburan,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Anwar berkata, beliau juga menyambut baik cadangan Shehbaz bagi mengeksport daging halal dari Pakistan ke Malaysia.

Selain itu, katanya, mereka turut membincangkan pelbagai isu serantau dan antarabangsa termasuk situasi di Gaza dan Afghanistan. 

“PM Shehbaz juga memuji pendirian Malaysia terkait permasalahan di Palestin.

“Mendoakan semoga hubungan Malaysia dan Pakistan akan terus berkembang demi manfaat bersama, Insya-Allah,” katanya lagi.-BH Online