Bank Negara Malaysia (BNM) meminta bank untuk memberikan penjelasan tentang punca yang menyebabkan insiden gangguan perkhidmatan serta langkah pembetulan dan pencegahan yang dilaksanakan bagi mengelakkan isu yang sama berulang.
Ia susulan gangguan perkhidmatan oleh dua bank terbesar negara iaitu Maybank dan CIMB Bank baru-baru ini.
BNM dalam satu kenyataan menegaskan, ia memandang serius gangguan perkhidmatan perbankan oleh dua institusi perbankan terbesar negara baru-baru ini yang telah mengakibatkan kesulitan kepada pada pelanggan.
“Perkhidmatan perbankan kedua-dua bank ini telah kembali pulih. Bank-bank ini juga telah diarahkan untuk berkomunikasi dengan pelanggan yang terjejas termasuk menjawab segera sebarang aduan dan pertanyaan yang disebabkan oleh gangguan berkenaan serta memberikan maklumat terkini mengenai perkhidmatan yang terjejas,” katanya.
Bank pusat itu juga menghendaki semua institusi perbankan untuk memastikan tahap ketersediaan perkhidmatan perbankan yang kukuh pada setiap masa.
“BNM akan mempertimbangkan tindakan penyeliaan atas bank-bank yang tidak
memenuhi kehendak pengawalan dan penyeliaan BNM,” katanya.-BH Online