Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Pengangkutan akan mengumumkan mengenai kadar cukai jalan bagi kenderaan elektrik (EV) selewat-lewatnya akhir bulan depan.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook, berkata kerangka berkaitan cukai jalan itu kini sudah di peringkat akhir untuk diperincikan dan beliau mengulangi bahawa jumlah yang perlu dibayar kelak tidak akan membebankan kerana mahu menggalakkan penggunaan EV di negara ini.

“Kita perlu ada kerangka cukai ini kerana kini walaupun pengguna EV ini masih belum dikenakan cukai, mereka bimbang jika kadar cukai yang dikenakan sebelum ini jauh lebih tinggi daripada kereta berenjin (ICE).

“Sudah menjadi komitmen saya mahu rendahkan cukai itu supaya pembeli EV mendapat kadar yang berpatutan kerana menjadi hasrat dan dasar kerajaan untuk menggalakkan kegunaan EV dalam jangka masa panjang,” katanya.

null

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian bagi proses pemasangan komponen (CKD) antara WTC Automotif (M) Sdn Bhd (WTCA) bersama GAG Motor International, hari ini.

Sebelum ini, Anthony dilaporkan berkata struktur cukai jalan atau Lesen Kenderaan Motor (LKM) untuk EV yang lebih kompetitif akan diumumkan sebagai usaha menggalakkan penggunaan kenderaan itu.

Katanya, struktur cukai jalan itu hanya akan terpakai selepas 2025 iaitu selepas berakhirnya tempoh pengecualian cukai jalan kepada kenderaan EV.

Untuk rekod, pada Februari 2022, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengumumkan tawaran insentif Pengecualian Bayaran Fi LKM sepenuhnya untuk kenderaan EV bermula 1 Januari 2022 hingga 31 Disember 2025.

Dalam pada itu, Loke berkata bagi menentukan kadar cukai berkenaan pihaknya sudah mengadakan beberapa kali mesyuarat kerana menghadapi cabaran terutamanya dalam menentukan perbandingan mengikut kapasiti digunakan. 

“Ketika ini penggunaan EV masih rendah dan tidak banyak yang gunakannya, sudah tentu pelbagai cabaran dihadapi. Namun saya yakin trend kegunaan EV ini akan berkembang terutamanya jika pembekal kenderaan dan pengedar menjalinkan kerjasama dan menawarkan EV dalam pasaran dengan harga yang lebih menarik,” katanya.-BH Online