Bekalan air di negeri yang mengalami cuaca panas melampau masih mampu bertahan dalam tempoh 90 hari.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata ini kerana paras air di kebanyakan Loji Rawatan Air (LRA) serta kawasan tadahan masih berada pada tahap 80 peratus.
Bagaimanapun, katanya, ada beberapa LRA di utara Semenanjung dan Sabah yang kini terjejas selepas kawasan terbabit tidak menerima hujan dalam tempoh agak lama.
“Ada satu dua tempat yang bekalan air sedikit terjejas ketika ini iaitu di Kedah dan Perlis, selain Langkawi.
“Cuaca panas berlarutan di negeri itu dengan daerah Chuping di Perlis kini merekodkan cuaca paling panas,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata demikian ketika ditemui pada Program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA) MADANI anjuran Jabatan Penerangan di Masjid Darul Naim, Kampung Gita Lama, di sini, hari ini.
Fadillah berkata, walaupun bekalan air di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, PETRA tetap membantu bagi memastikan masalah bekalan air ditangani dengan lebih berkesan.
“Misalnya di Sabah yang kini turut mengalami cuaca panas, bekalan air memang menjadi fokus kita.
“Kerajaan Persekutuan menyediakan pinjaman dan geran untuk bantu kerajaan Sabah meningkatkan keupayaan bekalan air bersih di seluruh negeri itu,” katanya.
Katanya lagi, berdasarkan ramalan keadaan cuaca panas melampau yang melanda beberapa negeri itu dijangka berakhir bulan depan.-BH Online