Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor tidak mahu Sabah hanya bergantung kepada dagangan sumber sedia ada terutama kelapa sawit, minyak dan gas dalam membangunkan ekonomi negeri sebaliknya mempelbagai dan membangunkan sumber ekonomi yang baharu.
Beliau berkata, bagi merealisasi hasrat itu hasil penyelidikan daripada 21 pusat kajian dan penyelidikan di negeri ini perlu dimanafaatkan sepenuhnya, antaranya menggunakan hasil kajian itu untuk membangunkan industri hiliran di Sabah.
Hajiji turut menyarankan pusat kajian dan penyelidikan di Sabah memainkan peranan membangunkan pengetahuan, menggalakkan inovasi, mengeluarkan produk bernilai tinggi dan punya nilai untuk didagang dan pastinya meningkatkan imbangan dagangan yang lebih menguntungkan bagi negeri ini.
“Sabah perlu memanfaati hasil penyelidikan ini dalam usaha melakukan lonjakan paradigma bagi membangunkan sumber ekonomi baharu,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) di Tuaran, pada Khamis.
Beliau berkata, antara kajian itu Pembangunan Semula Pelancongan di Mesilau; Pembangunan Semula Pusat Air Panas Poring, Ranau; Kajian Pembangunan Ekonomi di Sempadan Sabah; Kajian Pelan Induk dan Pelan Perniagaan untuk Zon Ekonomi Bebas; dan Kajian Pelan Induk Lembah Makanan Pedalaman Sabah.
Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), eksport utama Sabah pada tahun 2022 ialah minyak kelapa sawit berjumlah RM21.1 billion; manakala Gas Asli Cecair (RM5.2 billion); petroleum mentah (RM30 billion) dan minyak isirung sawit RM3.1 billion, katanya.
Bagaimanapun, Hajiji yang juga Pengerusi SEDIA berkata, barangan eksport lain yang merangkumi pelbagai barangan sama ada yang mentah atau yang diproses hanya berjumlah RM3.5 billion.
“Ini membuktikan bahawa kita perlu mengenal pasti pasaran yang lebih luas ke atas barangan eksport bukan komoditi. Kita juga perlu meningkatkan pengeluaran barangan bukan komoditi yang berpotensi tinggi untuk dieksport,” katanya. – BERNAMA