Sorting by

×

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, menempelak tindakan Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon meminta supaya tidak diperbesarkan isu stoking tertera kalimah ‘Allah’ yang dijual di kedai serbaneka KK Mart.

Mohd Puad berkata, Sin Woon dilihat seperti cuba memandai-mandai menjadi pembela kepada KK Mart, sedangkan isu itu adalah besar dan melukakan hati umat Islam.

Beliau menegaskan, MCA harus menegur kecuaian KK Mart itu dan bukannya menjadi pembela yang disifatkan sebagai membabi buta, sekali gus tidak menghormati kuasa pembeli umat Islam negara ini.

“Ini bukan membesar-besarkan isu. Ini soal agama. Ia menghina umat Islam. Umat Islam adalah pelanggan utama KK Mart.

“Dakwaan Sin Woon bahawa boikot terhadap KK Mart adalah membabi buta dan semborono itu menambah sakit hati pengguna umat Islam. Apa maksud Setiausaha Agung MCA bahawa tindakan boikot itu menyebabkan negara menjadi mangsa? Mana lebih berat jika berlaku huru-hara berbanding boikot?

“Sekurang kurangnya tiada kedai KK Mart dibakar seperti apa yang berlaku di negara lain jika sensitiviti agama tidak dijaga,” katanya dalam kenyataan dimuat naik melalui Facebook, hari ini.

Semalam, Sin Woon dilaporkan meminta Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh supaya tidak memperbesarkan isu stoking tertera kalimah ‘Allah’ yang dijual di KK Mart.

Sin Woon dipetik berkata, Dr Muhammad Akmal juga tidak sepatutnya membuat gesaan supaya umat Islam memboikot kedai serbaneka berkenaan, kerana tindakan secara semberono itu hanya akan merugikan negara.

Media semalam melaporkan Pemuda UMNO memberi tempoh dua hari kepada pengurusan KK Super Mart untuk memasang kain rentang di kesemua 881 cawangan kedai serbaneka itu di seluruh negara bagi memohon maaf atas penjualan stoking tertera kalimah ‘Allah’.

Dr Muhamad Akmal dipetik memberi amaran Pemuda UMNO akan memulakan boikot lebih kuat terhadap KK Super Mart sekiranya pengurusan kedai serbaneka itu gagal mematuhi tuntutan pergerakan berkenaan.

Dalam hantaran melalui media sosial beliau pada hari ini pula, Dr Muhamad Akmal menegaskan, Pemuda UMNO meneruskan kempen boikot KK Super Mart dengan meminta orang ramai memeriksa sama ada pengurusan kedai serbaneka itu sudah menaikkan kenyataan permohonan maaf seperti yang dituntut pergerakan berkenaan.

Pada 13 Mac lalu, tular dalam media sosial isu stoking tertera kalimah ‘Allah’ dijual di KK Mart Bandar Sunway, selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.

Rabu lalu, KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) dilaporkan memohon maaf berhubung penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah ‘Allah’, di beberapa cawangan kedai serbaneka itu. 

Syarikat itu berkata jualan stoking berkenaan telah dihentikan serta-merta sementara menunggu penjelasan daripada pembekal.

Pengendali rangkaian kedai serbaneka itu turut meminta supaya pengguna tidak memboikot perniagaan berkenaan.-BH Online