Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia tidak mengamalkan sebarang permusuhan atau anti terhadap mana-mana negara.

Anwar diajukan pelbagai soalan sensasi oleh media barat semasa lawatannya ke Jerman, berhubung dasar luar Malaysia yang dilihat baik bersama beberapa negara.

“Cuma ada beberapa hal yang dibesarkan, soal Palestin dan China kerana banyak negara barat agak sangsi, melihat kita berdamping dengan China dan sebagainya. Jawapan saya mudah, kita negara kecil.Kita mahu berkembang, kita jaga kemaslahatan rakyat.”

“Saya mengambil pendekatan yang sama pelaburan dari timur, barat, Amerika Syarikat, China, India, Australia, yang akan memberi manfaat kepada kita. Jadi, apabila saya ditanya soalan, bab Chinafobia atau Sinofobia, saya maklumkan tiada sebab untuk ada permusuhan dan anti sesiapa,” kata Anwar semasa menyampaikan ucapan dalam perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri bagi bulan Mac 2024, di sini.

Tegas Anwar, fokusnya adalah untuk memperbaiki struktur dan ekonomi serta mengangkat kembali martabat negara.

Sementara itu, Perdana Menteri meminta isu pengiktirafan ‘Bak Kut Teh’ serta pembukaan kantin sekolah pada Ramadan tidak diperbesarkan.

Masyarakat seharusnya menggunakan ruang yang ada untuk melaksanakan wacana serta perbincangan yang lebih segar dan sihat.

Menurut Datuk Seri Anwar, beliau ke luar negara untuk menarik pelaburan ke Malaysia, namun sebaik pulang ke tanah air isu Bak Kut Teh dan pembukaan kantin sekolah pada bulan Ramadan yang hangat diperkatakan.-Berita RTM