Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kerajaan bakal mengumumkan beberapa pendekatan baharu yang memberi manfaat kepada warga FELDA, minggu depan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, beliau berazam melaksanakan perubahan segera pada FELDA, terutama dalam soal pendapatan bersih peneroka agar mereka dapat keluar dari kelompok miskin tegar.

“Ada beberapa pendekatan yang saya akan umumkan dari semasa ke semasa… terbaharu, minggu depan,” katanya kepada Bernama dalam wawancara khas sempena pasca Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024, baru-baru ini.null

Mengulas prestasi FELDA yang merosot sebagaimana dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022 pula, Ahmad Zahid berkata, tanggungjawab memulihkan agensi persekutuan itu akan dilihat dari aspek peneroka dan syarikat bawah FELDA.

“Kita tahu LKAN melaporkan FELDA mengalami kedudukan kewangan yang sangat merosot. Laporan audit itu ialah pada Tahun Kewangan 2022, ertinya bukan bawah kerajaan yang ada sekarang. Ia bukan satu ‘blame game’ dan bukan mahu menyalahkan pihak lain.

“Kebertanggungjawaban memulihkan FELDA bukan dilihat dari segi pengeluaran hasil FELDA sendiri (tetapi) tumpuan kena diberikan kepada peneroka. Kedua, kita harus melihat syarikat bawah FELDA seperti FGV Holdings (FGV Holdings Bhd) dan MSM Malaysia Holdings Bhd,” katanya.

LKAN mengenai Penyata Kewangan Agensi Persekutuan 2022 yang dibentangkan di Dewan Rakyat, 6 Mac lalu, menunjukkan FELDA mengalami kerugian selepas cukai sebanyak RM1.005 bilion.

Mengenai ekonomi kitaran dalam FELDA, Ahmad Zahid berkata, konsep itu adalah aspek baharu yang perlu dipromosikan dan Pengerusi FELDA, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, telah membentangkannya pada KEB 2024.

“Ertinya, apa sahaja yang dijadikan sumber asas FELDA harus digunakan dan bukan dibuang begitu sahaja.

“Ini adalah sumber yang boleh melahirkan satu pendapatan baharu. Ini adalah satu pendekatan baharu sedang dilaksanakan oleh Pengerusi FELDA yang baharu dan didukung pengurusan tertinggi FELDA,” katanya.

Seterusnya, beliau berkata, kerajaan perlu memikirkan satu kaedah untuk menggalakkan industri ke FELDA supaya generasi baharu tidak berhijrah keluar dan berlaku urbanisasi. 

“Peluang ini boleh dibuat dengan memberi insentif kepada pelabur dalam negeri atau luar negeri… diberi pengecualian cukai jika industri dibawa ke kawasan FELDA,” katanya.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata, aspek transformasi digital perlu diberikan perhatian di kawasan FELDA kerana ia merupakan keperluan utama bagi generasi kedua dan ketiga.

“Pendigitalan kena berlaku adil, terutama di kampung tradisional dan kawasan FELDA. Mereka juga berhak mendapat pendidikan dalam talian kerana ini adalah pendekatan baharu sistem pendidikan negara,” katanya.

Mengenai isu pemilikan tanah berkait waris peneroka FELDA pula, beliau berkata: “Kita telah mendapat cadangan untuk mengubah Akta FELDA itu sendiri, termasuk dalam soal pemilikan generasi kedua… perkara begitu harus dilihat lebih terperinci.” – BERNAMA