Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Isu kekurangan bekalan beras tempatan di pasaran ketika ini adalah kes terpencil kerana hanya babitkan beberapa kawasan dan bukan seluruh negara, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) akan membantu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memantau isu berkenaan.

“Memang diakui ada kes terpencil tetapi saya sebagai jawatankuasa NACCOL akan bantu KPDN pantau keadaan semasa.

“Tentunya mekanisme telah diambil untuk menentukan bekalan beras tempatan mencukupi.

“Ia juga bagi memastikan tidak berlaku kejadian kes kekurangan bekalan beras tempatan di kawasan terpencil supaya isu ini dapat diatasi dengan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Santunan Kasih Ramadan 1445H di Perkarangan Masjid Jamek Layang-Layang, Simpang Renggam, di sini, hari ini.

Semalam, seorang Ahli Parlimen mempersoalkan sama ada Perdana Menteri yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Negara bagi Kos Sara Hidup (NACCOL), Datuk Seri Anwar Ibrahim diberikan maklumat yang tepat mengenai bekalan beras putih di negara ini.

Ahli Parlimen Bukit Gantang yang juga Pengerusi Task Force (Kluster Makanan) NACCOL, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal menimbulkan persoalan sedemikian berikutan situasi di lapangan yang dilakukan oleh pasukannya tiga hari lalu.

Syed Abu Hussin dilaporkan berkata semakan pasukan pemantau di 30 lokasi di Semenanjung mendapati tiada bekalan beras putih tempatan di pasaran.

Beliau juga dilaporkan meminta supaya Ketua Pengarah Bahagian Kawalan Padi dan Beras, Datuk Azman Mahmood bertanggungjawab atas situasi berkaitan bekalan beras putih tempatan itu.-BH Online