Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Perladangan dan Komoditi sedang meneliti model penyatuan pekebun kecil getah bagi meningkatkan pengeluaran getah seterusnya mengurangkan pengimportan getah mentah yang kini mencecah 950,320 tan bernilai RM5.4 bilion.

Menteri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata kaedah penyatuan itu dilaksanakan secara kluster yang mana setiap kluster membabitkan kawasan seluas antara 500 hingga 1,000 hektar tanaman getah.

Katanya, dengan penyatuan itu, pengeluaran getah akan dapat ditingkatkan dan isu 420,000 hektar kawasan tanaman getah yang sudah matang tetapi tidak ditoreh dapat diatasi.

“Dengan penyatuan pekebun kecil getah ini yang ada tiga hingga empat hektar setiap orang, kita kumpulkan mereka menjadi satu entiti bagi menarik syarikat besar dalam industri getah membeli getah daripada pekebun kecil.

“Pembabitan syarikat besar ini lebih menarik jika mereka juga terbabit dalam industri huluan, ‘midstream’ dan hiliran getah, yang mana tidak perlu lagi kita bergantung kepada import getah dari negara luar seperti Vietnam, Thailand, Indonesia dan Ivory Coast,” katanya ketika menggulung Titah Diraja bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Johari berkata, secara tidak langsung, penyatuan pekebun kecil itu akan membabitkan ketiga-tiga tahap dalam rantaian nilai industri getah iaitu huluan, pertengahan dan hiliran dan menarik minat penoreh apabila mereka mendapat pendapatan yang tetap dan stabil. 

Katanya, ketika ini, 97 peratus pengeluaran getah di negara ini disumbangkan oleh pekebun kecil, manakala tiga peratus lagi melalui syarikat perladangan.

“Daripada 1.1 juta hektar keluasan tanaman getah di Malaysia, 97 peratus diusahakan pekebun kecil dan tiga peratus oleh estet dan daripada 217,000 pekebun kecil yang berdaftar hanya 195,000 pekebun kecil masih aktif,” katanya.

Beliau berkata, apabila ada penyatuan pekebun kecil, pengeluaran getah dapat digerakkan dengan lebih sistematik kerana sudah ada syarikat pembeli daripada industri pertengahan dan hiliran getah.

“Dalam masa sama, isu mengenai penoreh tidak mahu turun menoreh kerana harga getah rendah tidak akan berlaku kerana penoreh tidak lagi bergantung kepada harga getah semasa kerana sudah ada pembeli tetap oleh syarikat besar yang terbabit dalam industri pertengahan dan hiliran membabitkan getah ini.

“Syarikat besar ini sudah tentu mahukan getah kerana ketika ini mereka mengimport kira-kira satu juta tan setahun,” katanya.

Mengakui usaha penyatuan itu sebagai tidak mudah dan mengambil masa lama, katanya kementerian akan memastikan perkara itu dilaksanakan dengan teratur dan tidak timbul penipuan yang merugikan pekebun kecil kerana ia membabitkan isu pengambilan tanah.

Mengenai kawasan tumpuan bagi penyatuan pekebun kecil, katanya penumpuan diberikan kepada negeri seperti Kelantan, Kedah dan Pahang.

Katanya, beliau percaya jika penyatuan pekebun kecil dilaksanakan akan menarik tenaga muda menjadi tenaga buruh kerana industri itu mewujudkan pendapatan tetap kepada penoreh getah.

Di samping itu, Johari berkata, kerajaan melalui Lembaga Getah Malaysia (LGM) juga sedang melaksanakan program lain seperti pemberian Insentif Pengeluaran Getah (IPG) dengan menetapkan harga lantai RM3 sekilogram. 

Dalam masa yang sama, katanya dilaksanakan Insentif Pengeluaran Lateks (IPL) dengan pemberian insentif RM1 sekilogram tanpa mengambil kira harga lateks dan juga Insentif Pengeluaran Lateks Plus (IPL+) menawarkan insentif RM1 sekilogram bagi penghasilan lateks oleh pekebun kecil dalam radius 50 kilometer dari kilang pemprosesan lateks. 

Johari berkata, turut dilaksanakan Program Transformasi Perusahaan Getah Negara (TARGET) bagi menggalakkan pengedar) menghasilkan getah keping (crepe) yang mana mereka dapat menjual terus kepada industri hiliran.

Mengenai keberhasilan teknologi gas stimulan dalam meningkatkan hasil getah, katanya LGM masih dalam proses untuk melaksanakan kajian keberhasilan gas stimulan bagi pokok getah yang sudah tua (lebih 12 tahun) dan sedang mencari kawasan tanaman sesuai untuk menjalankan kajian ini.-BH Online